PADA Isnin, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menzahirkan titah pesanan kepada pengurusan pasukan dan kelab-kelab penyokong Selangor FC serta semua peminat Gergasi Merah khususnya Ultras Selangor yang hadir ke stadium pada setiap perlawanan.
Mengambil kira keadaan semasa dan prihatin dengan semangat persaingan yang kian memuncak dalam saingan Liga Super pada 10 Oktober 2024, baginda telah pun menitipkan sepucuk warkah kepada pihak pengurusan Selangor FC.
Dalam warkah berkenaan, baginda mengingatkan semua pihak agar menjaga tingkah laku masing-masing supaya tidak berlaku lagi perselisihan faham dan pergaduhan di dalam mahu pun luar padang, yang boleh mengundang permusuhan sehingga membawa kepada keganasan.
BACA LAGI: Baru aksi pertama, penyokong TBG sudah persoal risiko keselamatan tempat duduk Stadium Manjung
Sebahagian aksi antara Selangor FC bertemu PDRM FC pada Sabtu yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1. — Facebook/MFL
"Setiap pemain dan juga penyokong harus bijak dan rasional dalam mengawal emosi agar tidak terjerumus dengan provokasi yang boleh memberi kesan negatif yang akhirnya membinasakan.
"Sesungguhnya dalam bola sepak, menang atau kalah adalah adat pertandingan namun yang lebih penting, semua yang terlibat meraikan pihak yang berjaya dan mengambil teladan daripada setiap kekalahan," titah baginda di Facebook.
Pada masa sama, baginda ingin terus melihat bola sepak kekal menjadi sukan yang menyatupadukan rakyat jelata tanpa ada anasir-anasir luar yang cuba merosakkannya.
Posting di Facebook Selangor Royal Office itu mendapat pandangan respons daripada penyokong setia Gergasi Merah dan antara yang menarik perhatian adalah komen yang ditinggalkan akaun bernama Nakal Pat Puloh.
Menurutnya, ramai penyokong tidak berpuas hati dengan corak permainan yang ditampilkan oleh barisan pemain Gergasi Merah itu dalam setiap perlawanan berlangsung.
"Ampun Tuanku beribu-ribu ampun sembah patik harap diampun, izinkan patik pacar yang hina ini meluahkan rasa tidak kepuasan hati para penyokong setia Merah Kuning.
"Rata-rata penyokong marah bukan kerana kalah tetapi corak permainan yang ditunjukkan oleh para pemain pada setiap perlawanan," katanya.
Tambahnya, dengan status Selangor FC yang kini tidak berdepan isu gaji, kelab Lembah Klang itu pastinya mampu memberikan persembahan yang cemerlang, bukan sekadar seperti pasukan bola sepak sekolah rendah.
"Rasanya dengan status pasukan Selangor yang boleh dikategorikan sebagai salah satu pasukan stabil kewangannya serta sudah boleh dikatakan sebagai salah satu pasukan yang berbelanja besar untuk musim ini tapi turun ke padang umpama pasukan sekolah rendah.
"Tidak wajar bukan? Kami faham adat setiap perlawanan ada kalah dan ada menang tapi bukan kalah dengan cara begini. Diharap juga pihak tertinggi SFC sehingga ke akar umbi memandang serius kekecewaan penyokong. Ampun Tuanku," ujarnya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram