Tak pernah kalah dan bolos, kelab bola sepak wanita ‘invincible’ Sweden gigit jari masih gagal muncul juara liga


  • Podium
  • Selasa, 22 Okt 2024

Angelholms mencatatkan rekod tanpa kalah dalam saingan liga wanita Sweden namun masih gagal meraih kejuaraan.

UNTUK mencatatkan rekod tanpa kalah sepanjang aksi liga merupakan satu pencapaian yang cukup hebat bagi mana-mana pasukan.

Gelaran invincible itu terlalu hebat untuk sebuah pasukan bola sepak, ia boleh membuatkan mereka dikenang dalam sejarah kerana menyimpan rekod cemerlang.

Namun tahukah anda? Mencatatkan rekod tanpa kalah masih belum cukup untuk memastikan mereka memenangi liga.

BACA LAGI: Di sebalik kesilapan Feroz, hujan lebat rencat tempo permainan JDT sebelum dimalukan Gwangju

BACA LAGI: Bukti masih sayang, bekas jurulatih serap 'roh' 2022, optimis JDT boleh jinakkan Gwangju

Itulah yang terjadi di Sweden apabila sebuah pasukan bola sepak wanita terlepas kejuaraan walaupun berjaya mengharungi musim liga tanpa sebarang kekalahan.

Kelab divisyen empat liga wanita Sweden, Angelholms FF terlepas peluang memenangi liga walaupun tidak kalah sebarang perlawanan. Lebih perit, mereka langsung tidak memboloskan gol sepanjang musim!

angelohpm

Rekod hebat Angelholms tidak cukup untuk memenangkan mereka dengan gelaran liga.

Dalam saingan liga 18 pusingan disertai mereka, Angelholms memenangi 15 perlawanan sambil mencatatkan tiga keputusan seri.

Mereka turut menghasilkan 78 gol sambil tidak bolos untuk menghasilkan perbezaan jaringan menjadi +78.

Tapi bagaimana situasi itu boleh berlaku? Hal ini kerana, juara liga, Ljungbyheds IF, cuma seri sekali dan tewas sekali untuk membawa pulang kejuaraan dengan 49 mata (Angelholms - 48 mata).

Walaupun terlepas gelaran liga dengan cara yang paling tidak dijangka, penjaga gol Angelholms, Nellie Bengtsson tetap berbangga kerana mencatatkan rekod nirbolos (clean sheet) dalam 18 perlawanan.

"Ia cukup baik untuk kami berjaya. Jika anda fikirkan semula, ia agak mudah untuk memboloskan gol, satu kesilapan dan bola bergolek menerjah jaring," katanya.

Bagi jurulatih Angelholms, Ulf Johansson, rahsia kepada kecemerlangan pertahanan pasukannya adalah pada permainan garisan tinggi diterapkannya.

"Menerusi permainan pertahanan tinggi, sikap yang betul, dapatkan semula rentak dengan pantas dan penjaga gol yang baik adalah ramuan mengapa mereka berjaya mendapatkan nirbolos dalam banyak perlawanan," ujarnya.

Walaupun tidak berjaya memenangi liga, namun persembahan luar biasa Angelholms itu pastinya akan kekal dalam lipatan sejarah bola sepak Sweden. — Agensi

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram