PERTEMBUNGAN tumpuan Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah pada pagi Isnin waktu Malaysia apabila Arsenal melayan kunjungan Liverpool di Stadium Emirates, London.
Aksi yang dilihat mampu mencorak ke mana hala tuju trofi EPL musim ini pasti menjanjikan drama dengan Arsenal tidak mahu keciciran mata selepas kalah kepada Bournemouth.
Sementara Liverpool pula pada tahap terbaik selepas melepasi ujian terbesar dalam EPL setakat ini iaitu menewaskan Chelsea 2-1 di laman sendiri.
BACA LAGI: Arteta optimis Arsenal mampu tewaskan Liverpool meskipun tempang kepenatan
BACA LAGI: Terlepas aksi Liverpool, Arsenal enggan kemuka rayuan layangan kad merah William Saliba
Kedua-dua kelab meraih kemenangan dalam saingan Liga Juara-Juara UEFA pada pertengahan minggu dengan Arsenal mengalahkan Shakhtar Donetsk sementara Liverpool menumpaskan RB Leipzig.
Namun begitu, legenda Manchester United, Rio Ferdinand berpendapat yang The Reds mempunyai peluang besar untuk mengalahkan The Gunners.
Baginya, Ferdinand menanggap 100 peratus kemenangan menjadi milik Liverpool walaupun beraksi di tempat lawan.
"Dari segi prestasi dan momentum, saya boleh katakan Liverpool 100 peratus (adalah pasukan pilihan). Mereka adalah pasukan yang anda lihat dan akan berkata yang mereka berada di posisi lebih baik.
"Dari segi kecederaan, Arsenal kelihatan bermasalah dalam hal tersebut dan mereka tidak memperoleh momentum ketika ini.
"Mereka tidak berada di prestasi tertinggi ketika ini, mereka bukanlah Arsenal seperti musim lepas. Saya rasakan yang keadaan berubah memihak kepada Liverpool. Saya boleh katakan yang mereka adalah pasukan pilihan," jelas Ferdinand.
Selepas lapan perlawanan, Arsenal sudah tiga kali keciciran mata apabila mereka seri dua kali dan tewas sekali.
Dengan The Reds sedang memimpin liga, kemenangan ke atas Arsenal boleh memberi isyarat kepada semua seteru Liverpool di EPL yang mereka serius untuk memenangi gelaran tersebut. — Agensi
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram