Pengamal media tuntut penjelasan rasmi pegawai Selangor didakwa hambur kata kesat


  • Podium
  • Ahad, 20 Okt 2024

PDRM mengikat pasukan Selangor dengan keputusan seri 1-1 di Stadium Selayang pada Sabtu.

USAI tamat perlawanan Liga Super antara Selangor FC dan PDRM FC di Stadium Selayang pada Sabtu, timbul dakwaan mengatakan pegawai pasukan Gergasi Merah berpelakuan buruk terhadap pengamal media sejurus wisel penamat ditiupkan.

Pelaku dikatakan menghambur kata-kata kesat terhadap pengamal media depan khalayak ramai yang sekali gus mencemarkan imej kedua-dua individu berkenaan selaku petugas rasmi perlawanan tersebut.

Menurut laporan sebuah portal sukan pada Ahad, pihak PDRM menuntut penjelasan rasmi dari Selangor atas kelakuan yang didakwa mencemarkan identiti kelab diterajui Raja Muda Selangor itu.

BACA LAGI: Anggap gol jumpa Kedah yang terbaik, Paulo Josue kekal komited bersama KL City

BACA LAGI: Jualan tiket lawan TFC rendah, 'signal' buat pengurusan Sang Kenari — Bekas pemain Kedah

photo_2024-10-20_09-59-42

PDRM berkongsi satu mata menentang Selangor di Stadium Selayang pada Sabtu.

"Pihak kami kecewa dengan tindakan yang dilakukan salah seorang pegawai pasukan Selangor FC yang menghujat pengamal media dengan kata-kata kesat di hadapan orang ramai selepas berakhir perlawanan menentang PDRM di Stadium Perbandaran Selayang pada Sabtu.

"Tindakan itu jelas tidak profesional dalam keadaan dia lengkap berpakaian rasmi kelab dan pihak media juga lengkap dengan kad akreditasi yang dikeluarkan oleh Malaysian Football League (MFL) yang membawa maksud kedua-dua pihak sedang menjalankan tugas.

"Tambah memalukan, tindakan itu berlaku di tempat lawan yang mana pihak tuan rumah telah memberikan layanan terbaik buat pihak media yang sentiasa berada di lapangan untuk memberikan laporan yang tepat dan sahih," katanya.

Dalam pada itu, berdasarkan semakan dijalankan, pegawai berkenaan sebelum ini didapati pernah dikenakan hukuman gantung 10 perlawanan dan didenda RM10,000 selepas didapati bersalah melakukan provokasi melampau ketika perlawanan Suku Akhir 2 Piala Malaysia 2023 di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada 24 September 2023.

Justeru, pihak The Cops menuntut maklum balas daripada Selangor berhubung dakwaan tersebut selain mengharapkan agar perkara sedemikian tidak berulang lagi selepas ini.

Terdahulu, kedua-dua pasukan berputih mata apabila keputusan 1-1 kekal hingga ke wisel penamat di Stadium Selayang.

Nyaris tewas di halaman sendiri, tempoh enam minit masa tambahan babak kedua menjadi titik hitam buat pelawat apabila pemain gantian PDRM FC, Aremu Timothy bijak mengambil kesempatan untuk meledak gol penyamaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram