PERAK Bison berjaya meranapkan impian tuan rumah, Penang Black Panthers untuk meraih kemenangan dalam aksi pembukaan Sepak Takraw League (STL) GP Penang yang diadakan di Spice Arena, Pulau Pinang.
Kemenangan straight set diraih oleh Perak Bison dengan keputusan 15-8, 17-15 memastikan rentak baik mereka dari GP Perak dibawa ke GP Penang pula.
Sudahlah mengalahkan Penang Black Panthers di laman sendiri, kemenangan itu lebih manis kerana Perak Bison berjaya membalas dendam episod duka di GP Terengganu.
BACA LAGI: [VIDEO] STL 2024: 3 resipi termasuk tanpa sentuhan import bikin KL Thunder sukar dicabar
BACA LAGI: Format GP STL: Pengurusan kelab kena bijak — Mohsen
Semasa di GP Terengganu, Perak Bison tewas kepada Penang Black Panthers di suku akhir dengan keputusan 15-11, 16-17, 15-17.
Oleh itu, kemenangan di Spice Arena disambut baik penyokong mereka ditambah pula dengan persembahan baik oleh apit kiri, Aidil Aiman Azwawi yang kembali ke skuad utama.
Walaupun bergembira dengan persembahan Perak Bison, namun penyokong masih berharap kualiti permainan boleh dibaiki lagi pada aksi akan datang.
Mereka berpendapat persembahan tekong wajar dibaiki jika ingin memastikan Perak Bison terus ampuh di GP Penang.
"Tahniah Perak Bison, misi balas dendam (kalah) suku akhir tercapai," kata Nor Azeah.
"Padu Aidil sudah boleh beraksi untuk Perak Bison," ujar Anix Theleaders pula.
"Permainan dah cantik, perbaiki kelemahan yang masih ada pada tekong, feeder. Killer juga kena guna taktikal untuk kelirukan pihak lawan," kritik Salim Osman.
Selepas ini, Perak Bison akan bertemu Negeri Sembilan Antlers pada Jumaat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram