KUALA Lumpur (KL) Thunder berjaya melakar kejuaraan hatrik dalam saingan Emas Anuar Liga Sepak Takraw (STL) 2024 apabila mudah menewaskan Selangor Pistons straight set (15-10,15-11) dalam aksi yang berlangsung di Stadium Indera Mulia, Ipoh, Perak pada Ahad.
Memegang gelaran sebagai juara Grand Prix (GP) Selangor dan GP Terengganu sebelum ini, KL Thunder nyata tidak berdepan masalah untuk sekali lagi tampil cemerlang dalam GP Perak.
Gandingan Zarif Merican Ibrahim (tekong), Amirul Zazwan Amir (feeder) dan Azlan Alias sebagai killer jelas berada di kelas tersendiri untuk meneruskan momentum cemerlang dalam tiga GP yang berlangsung sebelum ini.
Dengan kemenangan hatrik itu, tentunya kedudukan KL Thunder yang kini mengungguli carta STL 2024 dijangka sukar digugat oleh mana-mana pasukan.
Kejayaan KL Thunder dapat dilihat melalui strategi permainan yang mantap dan kerjasama yang padu antara pemain dengan tiga resipi utama diterapakan bagi membolehkan pencapaian bergaya itu dilakar.
1. Pengalaman pemain kebangsaan
KL Thunder yang dibarisi hampir keseluruhan pemain kebangsaan mempunyai kelebihan besar dalam STL musim ini.
Dengan pengalaman luas dalam perlawanan antarabangsa, barisan pemain Lembah Klang itu tidak menghadapi masalah untuk menewaskan kelab tempatan.
Kehadiran pemain berpengalaman seperti tekong utama negara, Syahir Rosdi, serta Azlan, Zarif, dan Amirul untuk memperkukuh kekuatan pasukan, menjadikan KL Thunder lebih sukar dicabar dalam setiap perlawanan.
Kombinasi kemahiran, pengalaman, dan semangat tinggi ini menjadikan KL Thunder sebagai ancaman utama dalam STL musim ini.
Zarif (kiri,depan) tampil cemerlang dengan membantu KL Thunder meraih kemenangan berturut-turut sepanjang tiga GP berlangsung. — STL
2. Tidak membawa masuk import
KL Thunder dilihat tidak memerlukan pemain import dalam saingan STL musim ini kerana mempunyai pasukan yang cukup seimbang.
Dengan mengekalkan pemain tempatan, KL Thunder dilihat memberi peluang kepada bakat muda untuk berkembang dalam membina asas yang kukuh bagi masa depan pasukan dan meningkatkan kualiti sepak takraw.
Meskipun tidak membawa masuk pemain import namun KL Thunder berjaya membuka mata pasukan lain bahawa pemain tempatan mampu memberi cabaran dengan mereka tidak berdepan masalah untuk mencipta keserasian.
Keputusan KL Thunder untuk tidak membawa masuk pemain import mencerminkan komitmen mereka terhadap pembangunan bakat tempatan dan pengukuhan pasukan yang berasaskan kepada semangat dan kerjasama yang kuat.
Apit kiri Selangor Pistons, Arif Badri (kanan) memberi cabaran sengit kepada KL Thunder. — STL
3. Squad depth
Dengan bilangan pemain yang mencukupi dan berkualiti, kelab Lembah Klang itu dilihat boleh menggantikan pemain utama dengan mudah tanpa menjejaskan prestasi pasukan.
Perkara tersebut membolehkan mereka mengekalkan tahap permainan yang tinggi walaupun dalam situasi kecederaan atau keletihan.
Squad depth yang baik menciptakan persaingan sihat di antara pemain kerana setiap pemain berusaha untuk mengekalkan tempat dalam kesebelasan utama, yang mendorong mereka untuk memberikan yang terbaik dalam latihan dan perlawanan.
Kekuatan dalam depth pasukan memberi mereka keupayaan untuk menghadapi pelbagai situasi. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram