SKUAD Harimau Selatan sekali lagi membuktikan kualiti mereka dalam arena bola sepak tanah air selepas menundukkan kelab Singapura, Balestier Khalsa ketika aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim, Johor.
Perlawanan yang diadakan sementara penangguhan jadual Liga Super berikutan perlawanan di peringkat antarabangsa itu memberi peluang buat pemain mengekalkan tahap kecergasan masing-masing.
Jadi, tidak hairanlah apabila pengendali Johor Darul Ta'zim (JDT), Hector Bidoglio menurunkan skuad terbaik dengan dua penyerang utama, Bergson da Silva serta Jorge Obregon diletakkan dalam kesebelasan utama.
BACA LAGI: Media asing kata keputusan Jese sertai JDT 'langkah sumbang'
BACA LAGI: 'Terima kasih Bos', belum sampai 24 jam, Jese Rodriguez buat fans Harimau Selatan teruja
Skuad Harimau Selatan menggunakan aksi itu untuk mengekalkan kecergasan pemain. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Kehadiran kedua-dua bintang itu membolehkan pasukan Selatan tanah air berkenaan menguasai permainan apabila mereka mendahului dengan tiga gol selepas 45 minit berlangsung.
Namun, kebolehan sebenar juara Liga Super tersebut disaksikan pada babak kedua apabila serangan demi serangan dilancarkan ke arah gawang pasukan lawan tanpa belas kasihan.
Malah, selepas memiliki kelebihan enam jaringan, JDT tidak teragak-agak untuk menurunkan bintang baharu pasukan, Jese Rodriguez yang dibawa masuk baru-baru ini.
Dia yang pernah beraksi buat gergasi bola sepak Sepanyol, Real Madrid dan Paris Saint-Germain (PSG) mencetuskan sensasi ketika memilih untuk menyertai skuad Harimau Selatan memandangkan ia turut menerima perhatian agensi media antarabangsa.
Perasaan berkobar-kobar untuk menyaksikan kebolehannya terbalas apabila pemain berusia 31 tahun berkenaan sempat mencetak jaringan dalam aksi persahabatan tersebut.
Skuad Harimau Selatan tidak berdepan sebarang masalah untuk membenam lawan mereka itu. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Meskipun hanya dalam perlawanan persahabatan, kelibatnya sudah dapat menaikkan lagi keterujaan penyokong pasukan berkenaan untuk menyaksikannya dalam aksi-aksi akan datang.
"Sahih dia akan kekal untuk tempoh lebih lama, harapnya akan menjadikan JDT sebagai rumah keduanya," kata Arif Hashim.
"Sebelum ini, ramai kata dia akan bergelut kerana pernah mengalami kecederaan serius beberapa tahun lalu. Tetapi, tengok gaya boleh jadi lebih baik buat JDT," kata Malik Karim.
"Kalau boleh, turunkan lah dia ketika berdepan Selangor FC pada 27 Oktober nanti. Nak tengok juga kebolehan sebenar dia dalam aksi yang kompetetif," ujar Nordin Ghani.
Kelab terakhir diwakili bekas penyerang skuad belia Sepanyol itu adalah Coritiba FC di liga bawahan Brazil dengan perkara tersebut tidak memberi halangan untuk JDT menandatanganinya.
Selepas ini, skuad Harimau Selatan akan bertandang ke Stadium MBPJ, Selangor untuk berdepan kelab Lembah Klang berkenaan dengan Jese berpeluang mencipta debut rasminya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram