Bakal berpindah ke Manjung, moga aksi terakhir Perak berdepan JDT di Ipoh cipta kenangan manis


  • Podium
  • Rabu, 02 Okt 2024

Pertembungan antara JDT dan skuad TBG menyajikan perlawanan cukup mendebarkan pada tahun-tahun kebelakangan ini.

BEBERAPA pengubahsuaian perlu dilakukan terhadap infrastruktur Stadium Perak, Ipoh yang dilihat tidak memuaskan berdasarkan luahan daripada mereka yang sering hadir ke venue perlawanan berkenaan.

Hal itu diumumkan Perak FC yang menjadikan stadium itu sebagai 'rumah' mereka sejak bertahun-tahun lamanya dengan pelbagai kejayaan dapat disaksikan dalam tempoh berkenaan.

"Perak FC akan bermain perlawanan terakhir musim ini di Stadium Perak, Ipoh pada 5 Oktober (Ahad) sebelum stadium ini dibaik pulih. Ini adalah detik penting bagi pasukan dan penyokong kerana selepas ini, kami akan bermain di Stadium Manjung, Perak.

BACA LAGI: Ledak gol di laman sendiri, Luka mahu skuad TBG kekal momentum di Temerloh

BACA LAGI: Perak tak bersedia, wakil Wolfsburg bongkar TBG tarik diri lepas 3 bulan jalin kerjasama

"Pertemuan dengan Johor Darul Ta'zim (JDT), pasukan terkuat di Malaysia menjadikan perlawanan ini lebih menarik," kata pengurus besar pasukan, Neow Choo Seong.

Selain menjadi rumah buat skuad The Bos Gaurus (TBG), stadium berkenaan pernah menjadi venue bagi Piala Dunia Bawah 20 Tahun (B-20) pada 1997 dengan pengubahsuaian turut dilakukan.

Bagaimanapun, selepas lebih 20 tahun kerja-kerja itu dilakukan, pelbagai kemudahan sudah tentu berada dalam keadaan uzur dengan pengubahsuaian perlu dilakukan segera.

Penyokong juga pasti berharap usaha itu dapat menjadikan Stadium Perak menjadi lebih selesa untuk menganjurkan perlawanan Liga Super selain digunakan bagi tujuan yang lain.

Malah, bagi mereka, peluang untuk menyaksikan aksi antara JDT dan Perak FC di stadium keramat tersebut dapat menghadiahkan kenangan manis buat mereka yang hadir ke venue terbabit.

std-perak

Stadium Perak menjadi 'rumah' kepada skuad TBG bertahun-tahun lamanya.

"Harap penyokong Perak jaga kelakuan, sambut JDT sebagai tetamu dan buktikan kita tuan rumah beradab. Kita hormat JDT tapi atas padang kita cuba bagi tentangan," kata Shafidzul Hafiz.

"Harap ada keputusan yang terbaik dalam perlawanan terakhir di Ipoh. Semoga berjaya calarkan rekod tidak kalah mereka dalam Liga Super," kata Saiful Hizam Ramly.

"Jaga elok-elok. Perlawanan panas ni. Ada yang suka buat pasal di kawasan luar ni. Biasanya begitulah, dendam lama. Jadi, polis kasi ramai," kata Firdaus Saleh.

Untuk rekod, pertembungan terakhir antara kedua-dua pasukan itu di Stadium Perak, Ipoh adalah pada separuh akhir Piala Malaysia 2023 dengan skuad Harimau Selatan meraih kemenangan 4-1.

Kenangan pahit berkenaan sudah tentu diharapkan dapat ditebus dalam pertembungan akan datang ini dengan skuad TBG berada dalam rentak terbaik ketika ini. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram