Biarlah keputusan perlawanan ceritakan mengenai keadaan kami — Yusri Che Lah


Oleh M. AZIM
  • Podium
  • Isnin, 30 Sep 2024

Yusri pasti mengharapkan prestasi memberangsangkan itu dapat diteruskan pasukannya. — Facebook/Perak FC

Bola Pegun kembali menemui pembaca. Kolum ini, sesuai dengan namanya mengenai situasi bola mati yang penting dalam memburu jaringan, akan cuba berkongsi sorotan mengenai suka-duka jurulatih, pemain mahupun pasukan mengejar kejayaan dalam saingan Liga Malaysia musim 2024/25.

KETUA Pegawai Operasi Perak FC, Meor Azli Meor Mahmod, ketawa kecil ketika diusik dengan pertanyaan tidakkah dia berasa gayat apabila melihat jauh ke bawah ketika pasukan itu berada di tangga ke-10 selewat empat perlawanan lalu.

Dari kedudukan terkini di tangga keempat – hanya di belakang Johor Darul Ta’zim (JDT), Selangor FC dan Terengganu FC – merenung ke posisi lama mereka itu bermakna ia berjurang enam anak tangga dan perbezaan sembilan mata – sesuatu yang mungkin dianggap angan-angan sebelumnya.

“Biasa je,” kata Meor Azli kepada Bola Pegun sebagai menceritakan mood dalam kem Perak FC ketika ini – semuanya daripada pengerusi kelab hingga kepada kitman pasukan – terbuai-buai oleh tahap tertinggi dalam carta liga yang mereka huni.

BACA LAGI: Sabari sah dibunuh, suspek mengaku campak mangsa dalam Sungai Padang Terap

BACA LAGI: Kes Daesh: Bekas Ketua Kumpulan 'Wolf Pack' kena penjara 10 tahun, didapati bersalah terlibat aktiviti keganasan

460865903_536863065560740_3121390011622429630_n

Kem Perak FC dalam semangat terbaik selepas keputusan memberangsangkan. Facebook/Perak FC

“Ini semua adalah hasil kerja keras pemain-pemain dan kerjasama erat sebagai satu pasukan,” kata ketua jurulatih, Yusri Che Lah, sebagai menyimpulkan lonjakan kedudukan pasukannya sambil membiarkan selebihnya diceritakan oleh keputusan yang diraih skuad The Bos Gaurus (TBG) itu sejauh ini.

Hanya Julai lalu, jurulatih berusia 48 tahun itu menghadapi desakan penyokong Perak FC supaya meletak jawatan selepas tewas dalam lima perlawanan Liga Super – 1-3 kepada Terengganu FC (A), 2-3 kepada PDRM FC (H), 1-2 kepada Selangor FC (A), 0-2 kepada Penang FC (H) dan 1-2 kepada Kuching City (H).

Selepas kekalahan 0-2 kepada Penang FC pada 13 Julai yang menimbulkan kemarahan Yusri terhadap pemain-pemainnya, skuad TBG bagaimanapun bangkit menundukkan Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Kota Bharu pada 26 Julai hinggalah kekalahan kepada Kuching City FC mengocak kembali keharmonian dalam pasukan.

Sebelum itu, Yusri menghamburkan kekecewaannya terhadap persembahan buruk yang ditampilkan ketika bolos dua gol kepada Penang FC hingga jurulatih itu menuntut rasa bertanggungjawab pemain-pemainnya yang sepatutnya berasa malu dengan persembahan sendiri.

Seterusnya kalah kepada Kuching City pada 30 Julai -- kekalahan ketiga daripada tiga perlawanan di halaman sendiri – disimpulkannya sebagai membayangkan terlalu banyak yang tidak kena dengan pasukan yang berpusat kepada tahap keyakinan pemain yang merudum.

6327889422049209539

Perak FC berada dalam prestasi terbaik ketika ini. Facebook/Perak FC

Kedatangan bulan September menjadi ujian lanjut buat Yusri apabila Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi, menjadikan tiga perlawanan sebagai kayu pengukur lanjut terhadap kemampuan Yusri menyuntik semangat ke atas pemain-pemainnya untuk meraih mata maksimum.

Ujian itu sudah dilepasi jurulatih berkenaan dengan sumbangan sembilan mata maksimum.

Kelmarin, TBG TV memuat naik satu video berdurasi 7:30 saat bertajuk ‘Jurnal Padang: Misi Memburu Kemenangan Episod 3’ yang menyorot perjalanan Perak FC untuk berdepan Sri Pahang FC di Stadium Perbandaran Temerloh, Sabtu lalu.

Antara lain ia memaparkan perjalanan pasukan dengan bas serta suasana dalam bilik persalinan sebelum sepak mula perlawanan, dengan kapten, Luciano Guaycochea, memeluk setiap seorang rakan sepasukannya untuk memberikan semangat.

Membakar lanjut keazaman mereka, Yusri berpesan kepada pemain-pemainnya: “Dalam dua perlawanan terdahulu (mengalahkan Negeri Sembilan FC dan Kuala Lumpur City FC, kedua-duanya dengan keputusan 1-0), kita menang kerana kerjasama sepasukan.

6327889422049209547

Guaycochea (kanan) menjadi watak utama skuad TBG musim ini. Facebook/Perak FC

“Kita bekerjasama dari minit pertama hingga minit terakhir dan kita semua fokus. Apabila kita bermain melawan pasukan bagus dan berpengalaman, kita perlu sentiasa fokus.

“Sudah tentu kita perlu bekerja keras tapi menentang pasukan seperti ini, kita perlu sentiasa peka dan waspada.

“Biarlah keputusan yang bercerita mengenai kita dan saya harap kamu faham mesej yang saya berikan ini.

“Di dalam padang, semuanya adalah daripada kamu dan kamulah yang membuat keputusan. Selebihnya kita tetap bersama-sama,” katanya.

Berkat kerjasama berpasukan itulah yang menyaksikan Perak FC menyerlahkan antara aksi terbaiknya berdepan pasukan tuan rumah yang turut menunjukkan peningkatan dengan menjaringkan 10 gol dalam empat perlawanan terakhirnya – 2-3 kepada Sabah FC, 1-1 dengan Terengganu FC, 5-1 ke atas PDRM FC dan 2-2 dengan Kedah Darul Aman (KDA) FC.

461298356_541569938423386_1764590603327732918_n

Yusri semakin berpuas hati dengan prestasi semasa pemain Perak. Facebook/Perak FC

Skuad TBG itu tidak langsung mengendahkan rekod mahupun pengalaman lawan apabila mendahului menerusi tandukan Guaycochea yang menyudahkan sepakan sudut Tommy Mawat selepas 43 minit permainan.

Hanya dua minit bersambung dalam babak kedua, Sri Pahang FC dihukum lagi. Guaycochea sekali lagi menjadi wira apabila meledak jaringan kedua hasil percubaan susulan selepas sepakan Adilet Kanybekov gagal ditangkap kemas penjaga gol, Azfar Arif.

Perak FC semakin sukar digugat selepas Firdaus Saiyadi melebarkan jurang kepada 3-0 pada minit ke-61 menerusi gerakan satu dua dengan Clayton da Silva sebelum melepaskan rembatan leret menewaskan Azfar.

“Alhamdulillah atas kemenangan ketiga berturut-turut, juga clean sheet ketiga berturut-turut. Kredit kepada pemain-pemain saya yang menjalankan tanggungjawab dengan terbaik sepanjang tiga perlawanan yang kami lalui,” kata Yusri dalam sidang media selepas perlawanan.

460824099_536433982270315_924988184621023575_n

Haziq juga beraksi cemerlang kebelakangan ini. Facebook/Perak FC

Jurulatih itu turut memuji persembahan cemerlang Haziq Nadzli di sebalik penjaga gol itu tidak hadir latihan sepanjang dua hari sebelum perlawanan kerana isterinya melahirkan cahaya mata ketiga mereka.

“Dalam masa dua hari tidak bersama dengan pasukan, saya masih lagi yakin untuk memberikan beliau beraksi kerana dua perlawanan terdahulu beliau telah menunjukkan aksi yang terbaik.

“Saya rasa perlawanan tadi ada ‘save’ terbaik daripada beliau, percubaan daripada Kpah Sherman tak salah saya. Malangnya, minggu hadapan beliau tidak dapat beraksi bertemu dengan JDT (atas perjanjian sebagai pemain pinjaman kelab itu),” kata jurulatih itu yang yakin Ramadhan Hamid tidak akan mengecewakan.

Mengulangi nasihatnya supaya pemain tidak terlalu yakin dan mudah hilang fokus, Yusri bagaimanapun mendapati perkara itu masih berlaku dalam perlawanan Sabtu lalu.

“Itu terjadi tadi apabila kita menjaringkan gol pertama di minit-minit terakhir separuh masa pertama. Kita benarkan pasukan lawan hadir untuk cuba mengancam gol kita.

“Dan apabila gol kedua terhasil, begitu juga masih lagi dalam mood yang tidak tentu arah, hilang bola, hilang kawalan, takut barangkali.

“Jadi, nasihat saya sekali lagi, kita tidak kuat tapi apa yang menguatkan kita adalah kerjasama sepasukan,” katanya lagi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram