KELANTAN Darul Naim FC seolah-olah mencari penyakit sendiri apabila pasukan media sosial (admin) kelab tersebut secara terbuka mempromosi pautan strim siaran langsung haram.
Tindakan itu berlaku sewaktu KDN menentang Negeri Sembilan FC ketika admin Sang Kijang Emas menjawab pertanyaan daripada penyokong mengenai siaran langsung.
"Siaran langsung di Astro, tapi biasanya ada pautan (strim secara haram) di Facebook, nanti search sahaja," kata admin KDN.
BACA LAGI: Oday digalak lebih kerap rai jaringan tunjukkan lilitan lengan bendera Palestin
BACA LAGI: Impian Selangor mahu rekrut import Palestin punah, Oday Kharoub tak dapat restu presiden
Tindakan tersebut mendapat perhatian Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) yang menentang sekeras-kerasnya perbuatan tersebut.
MFL kemudiannya mengambil dengan mendenda KDN sebanyak RM5,000 kerana melanggar Peraturan Media yang ada dalam Manual Liga Malaysia 2024.
"Kami di pihak MFL sangat menjaga privasi kandungan dan tontonan aksi Liga Malaysia di mana kami juga ingin menjaga hak penyiar rasmi iaitu Astro dan RTM (Radio Televisyen Malaysia) yang sentiasa berusaha memberikan liputan terbaik kepada penyokong. Kami juga mahu melindungi nilai komersial Liga Malaysia di mana hak penyiaran juga adalah antara punca pendapatan besar kepada kelab-kelab.
"Justeru, apabila ada yang masih mempromosikan siaran langsung secara haram, MFL sememangnya berasa kecewa dan berharap situasi sebegini tidak lagi berlaku," kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Giorgio Pompili Rossi.
Tindakan admin KDN yang mempromosi pautan strim haram itu juga tidak disenangi oleh penyokong mereka sendiri. Mereka beranggapan yang admin kelab itu perlu belajar dengan kelab Eropah cara menguruskan media sosial.
"Berat admin kita, kena belajar lagi. Suruh dia tengok kelab Eropah macam mana mereka uruskan media sosial," kata penyokong bernama Ahmad Fadzil.
"Perkara asas macam ni tak sepatutnya jadi, admin patutnya lebih bijak dalam situasi macam ni," ujar Khalid Zahari.
"Sebab dah terbiasa benda percuma, sampaikan kongsi link haram pun tak rasa apa-apa. Padahal itu untuk kantung kelab juga," bidas Hairi Said.
Sehingga kini, KDN masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan berkenaan insiden ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram