CARA didikan anak-anak zaman kini amat berbeza jika mahu dibandingkan ketika era 90-an.
Ditambah lagi dengan pendedahan berkaitan kesedaran kesihatan mental sekali gus membuatkan para ibu bapa lebih berhati-hati dalam bertutur atau menegur anak-anak.
Sama seperti yang dikongsikan oleh seorang guru menerusi aplikasi TikTok @teachersaleha baru-baru ini tentang kepentingan menggunakan ayat sesuai untuk menjelaskan kesusahan keluarga kepada anak.
BACA LAGI: [VIDEO] Tawar peluang kedua, Steven Sim bantu pelajar kurang cemerlang SPM sambung belajar ILP Perai
Dalam videonya itu, guru tersebut menjelaskan satu persatu rangka ayat yang dilarang untuk digunakan oleh ibu bapa terutamanya bagi golongan kurang berkemampuan seperti B40.
"Jangan gunakan ayat seperti 'ayah kena kerja, kalau tak kerja kita tak ada duit'. Kalau anak minta kita sesuatu pula jangan guna ayat 'tak boleh, barang ni mahal sangat, ayah tak mampu'.
"Ayat ketiga, 'ibu dan ayah ni bukan banyak duit, mampu sangat, ingat kita ni bukan anak orang kaya'. Yang keempat, bila anak minta belikan keperluan harian seperti barang sekolah jangan cakap, 'amboi kau ingat ayah ibu ni cop duit ke? Tanam pokok tu petik je duit dekat pokok'," katanya.
Menurutnya, ayat-ayat sedemikian boleh menyebabkan anak-anak ada pemikiran scarcity (berasa kekurangan) apabila membesar.
Pemikiran scarcity adalah cara berfikir yang menganggap hidup ini penuh dengan keterbatasan dan saingan.
Individu yang mempunyai cara berfikir seperti itu lebih cenderung berasa tidak cukup, tidak berharga, dan tidak berdaya serta sulit mencapai impian atau menikmati hidup mereka.
Perkara itu bagaimanapun dilihat tidak dipersetujui oleh sesetengah ibu bapa kerana menganggap bahawa ia satu didikan yang lemah.
Menggunakan ayat terlalu lembut dikatakan akan menyebabkan anak lebih manja dan tidak berdikari. — Gambar hiasan/Agensi
Rata-ratanya di Facebook menjelaskan beberapa sebab tidak bersetuju dengan saranan guru berkenaan.
"Orang dahulu cakap begitu supaya ada kesedaran, tetapi mereka berusaha, berdoa dan bertawakal untuk mendidik dan membawa anak-anak ke arah kejayaan dan beriman dengan pelajaran dan didikan. Ayat ganaslah jadi pembakar semangat.
"Budak sekarang terlalu hati dan jiwa tisu, manjakan diri kerana ikut kecanggihan hidup dan trend membuta tuli," komen Latifah Hamzah.
"Betul, anak jadi lebih berdikari. Kalau nak usaha sendiri. Dahulu, kalau nak duit lebih tolong mak kutip getah beku, mak bagi RM2, syukur," disokong Noraini Jamaluddin.
Bukan itu sahaja, ada juga beranggapan bahawa teguran secara lemah lembut oleh ibu bapa akan memberi kesan kepada kemahiran sosial anak-anak.
"Cara didikan sekarang lembik, sebab itu anak-anak sekarang lembik, tak berdikari. Nak kata tak boleh memang tak boleh. Aku dah tengok mak bapa cakap lembut memanjang tak tegas akibatnya anak jadi manja, asyik mengarah, mengamuk tak tentu pasal.
"Geram, apa lagi main tendang-tendang mak ayah bila tak dapat sesuatu. Orang dulu juga menang dalam didikan anak, penuh disiplin, hormat orang tua," kata Nik Azhar. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram