SKUAD Harimau Selatan menarik nafas lega dengan kemenangan tipis 2-1 ke atas Kuching City FC dalam aksi Liga Super yang berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim, Johor pada Jumaat.
Selepas bergelut pada babak pertama, Johor Darul Ta'zim (JDT) bangkit pada babak kedua dengan gol daripada Bergson da Silva memecahkan kebuntuan buat pasukan Selatan tanah air berkenaan.
Pada minit ke-81 pula, giliran Juan Muniz menggandakan kedudukan mereka selepas benteng pertahanan skuad The Cats gagal memintas hantaran demi hantaran dibuat di luar kotak penalti mereka.
BACA LAGI: 'Biar kalah, asal skor', fans The Cats tunjuk mentaliti melawan aksi jumpa JDT
BACA LAGI: Anak-anak buah Aidil Sharin bersedia bertarung lawan pasukan 'sempurna' seperti JDT
Bergson memecahkan kebuntuan dengan gol pada babak kedua. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
Bagaimanapun, sikap enggan mengalah dipamerkan skuad Harimau Selatan membuahkan hasil apabila Luiz Fernando Welter menjaringkan gol sagu hati buat pasukan Borneo berkenaan.
Meskipun terdapat usaha untuk mengikat kedudukan, anak-anak buah Aidil Sharin Sahak hanya boleh berputih mata selepas pengadil meniupkan wisel panjang yang menyaksikan tiga mata milik JDT.
Kemenangan itu bagaimanapun dilihat belum mencukupi buat juara bertahan Liga Super itu yang beranggapan kemenangan lebih besar boleh diraih di laman sendiri.
Malah, bagi mereka, kualiti dimiliki penyerang baharu, Jorge Obregon di hadapan pintu gol lawan tidak cukup untuk memastikan kejayaan selesa direkodkan pasukan itu pada masa akan datang.
Obregon mensia-siakan beberapa peluang keemasan dimilikinya. — Facebook/JOHOR Southern Tigers
"Malam yang suram, pemain bernombor 99 itu tidak cukup berfungsi. Lebih kerap menunggu bola sahaja, jauh sekiranya hendak dibandingkan dengan Bergson itu," kata Pablo Biger.
"Bergson masih yang terbaik, Obregon lebih menghampakan. Apa-apa pun, tahniah diucapkan buat JDT, alhamdulillah," kata Mariani Hussin.
"Obregon itu diharapkan dapat membaca komen daripada orang ramai, pasti akan menunjukkan peningkatan dalam aksi akan datang," kata Marksrieff mekk'Wa.
Penyerang berusia 27 berkenaan dibawa masuk dari kelab Croatia, HNK Rijeka dengan dia sudah membuka akaun jaringan ketika perlawanan Liga Super menentang Penang FC sebelum ini.
Kemasukannya diharapkan dapat memastikan jentera serangan JDT terus berbisa memandangkan dua penyerang utama, Bergson dan Heberty Fernandes sudah semakin berusia. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram