PASUKAN sedang meningkat naik, Kuching City FC bakal menempuh aksi sukar bertemu Johor Darul Ta'zim (JDT) bagi saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) dekat Iskandar Puteri, Johor pada Jumaat.
Jika melihat corak permainan pasukan-pasukan lain sebelum ini ketika bertemu JDT, pasti skuad The Cats juga dijangka akan bermain secara bertahan daripada dimalukan dengan jurang gol yang teruk.
Bagaimanapun, bermain secara 'parking bus' bukanlah yang diingini penyokong Kuching City kerana rata-rata daripada mereka lebih gemar jika skuad kendalian Aidil Sharin Sahak turun dengan taktikal menyerang.
BACA LAGI: Anak-anak buah Aidil Sharin bersedia bertarung lawan pasukan 'sempurna' seperti JDT
BACA LAGI:[VIDEO] Kuching City makin 'mengganas', bintang JDT sah perkuat The Cats
Menjengah di ruangan komen juga rata-ratanya sudah mula 'mencuci' fikiran para pemain untuk menerapkan mentaliti cuba menguasai bola dan sekurang-kurangnya cuba untuk membawa gol sagu hati dalam permainan berkenaan.
"Jangan biar gawang JDT tidak bolos. Biar kalah, yang penting bergegar jaring JDT walaupun hanya sebiji gol," kata penyokong The Cats, Apai Kinin.
"Semoga permainan yang baik ditunjukkan oleh para pemain Kuching City. Kalah itu mungkin pasti tapi jangan biarkan dibelasah teruk," tambah penyokong Kuching City, Abok Manok.
"Dapat gol sebiji pun okay juga, bersyukur sahaja. JDT ini bukan pasukan biasa-biasa tetapi tidak mustahil, Kuching City boleh memberi saingan," tambah penyokong The Cats, Erryck Kanang.
Jika dilihat rekod aksi Liga Super pada musim lepas, skuad The Cats tidak pernah mendapat peluang meraih tiga mata apabila kedua-duanya tewas dengan keputusan 0-2 (23 November 2023) dan kecundang 0-4 pada 19 Mei 2023.
Namun, di bawah kendalian Aidil Sharin Sahak, Kuching City tampak mengalami perubahan cukup ketara daripada segi corak permainan serta keputusan dilakar jika dibandingkan pada persaingan musim lalu.
Bawah kendalian jurulatih kelahiran Singapura itu, The Cats sudah meraih tiga kemenangan, lima keputusan seri dan dua kekalahan sahaja selepas menempuh 10 perlawanan setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram