PRESIDEN Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM), Safee Sali hanya mampu tersenyum sinis apabila ada sebuah pasukan Liga Super menyorok hal sebenar mengenai tunggakan gaji yang dialami kelab berkenaan.
Bekas penyerang kebangsaan itu mendakwa bahawa dia mengetahui hakikat sebenar mengenai masalah gaji yang berlaku dalam sebuah pasukan Liga Super berkenaan dan sememangnya isu berkenaan masih membelenggu para pemain.
Safee berkata, sebuah kelab Liga Super yang berdaftar di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) perlulah mengutamakan kebajikan pemain dan jangan berselindung daripada berkongsi masalah sebenar.
“Memang ada aduan tentang gaji. Masalah pemain dan saya agak tersenyum sendiri bila ada satu pasukan mengatakan gaji hanya dua bulan. Padahal kita tahu pemain menghadapi masalah lebih teruk. Jangan nafikan benda apa yang anda dah rosakkan.
“Pemain pun ada tanggungan. Pemain ada keluarga. Jangan tutup benda yang dah buat dan cakap tiada apa-apa. Kebajikan adalah kebajikan. Cakap dengan terbuka dan perbetulkan masalah berkenaan,” katanya kepada media pada Sabtu.
BACA LAGI: [VIDEO] Kalau ada kuasa, saya tolak penyertaan pasukan AFL — Safee Sali
Safee (tiga dari kiri) ketika Majlis Pelancaran Super Safee Soccer School di Rafa Serenia Football Turf, Sepang pada Sabtu.
Bekas pemain Johor Darul Takzim (JDT) dan Selangor FC itu ditemui selepas Majlis Pelancaran Super Safee Soccer School di Rafa Serenia Football Turf, Sepang, Selangor.
Menurut Safee, PFAM bukanlah bercakap kosong mengenai isu gaji berkenaan dan menyatakan pihaknya mempunyai laporan mengenai tunggakan gaji dari pemain.
BACA LAGI: 'Bukan 4 tapi cuma 2 bulan gaji tertunggak' — Khalid Samad
“Ramai yang dah buat laporan dan benda itu ada dalam kes. Maksudnya ada dalam aduan. Kita di pihak PFAM tak nak terlampau ke media sebab nak selesaikan cara baik.
“Tapi benda itu dinafikan. Satu kerisauan dalam bola sepak. Pengurusan terlalu bercita-cita untuk ambil pemain import. Guna pemain lokal, (baru) boleh mengawal bajet pasukan,” tambahnya.
Kenyataan dari Safee itu sepertinya merujuk kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang menafikan pihaknya dibelenggu masalah tunggakan gaji pemain dan barisan kejurulatihan Kuala Lumpur City FC (KL City) berlarutan sehingga empat bulan.
Presiden KLFA, Khalid Abdul Samad berkata, jumlah tunggakan sebenar hanya untuk tempoh dua bulan, iaitu Oktober dan November pada saingan Liga Malaysia (Liga M) 2022/2023 yang lepas susulan perubahan jadual perlawanan liga.
Menurut Khalid lagi, pihaknya menantikan kemasukan wang untuk membolehkan KL City menyelesaikan permasalahan gaji sekali gus menutup cerita musim 2023. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram