[VIDEO] Wanita menangis dapat bantuan masa hujan, cuma ramai cadang guna khidmat PLUS elak nahas


  • Massa
  • Khamis, 19 Sep 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang lelaki yang sanggup berhujan untuk membantu menukar tayar pemilik kereta di lebuh raya baru-baru ini.

TINDAKAN seorang lelaki memberi bantuan kecemasan kepada pemilik kereta di lebuh raya baru-baru ini menyentuh hati orang ramai.

Menerusi video tular di Twitter (X) sejak Khamis, lelaki tersebut dilihat sanggup meredah hujan untuk menukarkan tayar kereta terbabit di tepi jalan.

Dalam video sama, kedengaran juga pemilik kereta yang menangis teresak-esak kerana terharu melihat tindakan murni lelaki tersebut.

BACA LAGI: 'Orang belanja cendol, bukan suruh menyondol', IG bodyguard Fattah-Fazura cetus persoalan punca perpisahan

BACA LAGI: [VIDEO] 'Satu dalam sejuta', kisah pelanggan 'degil' selalu belanja rider makanan jadi ikutan

Difahamkan, wanita itu terpaksa berhenti di tepi lebuh raya disebabkan tayar keretanya yang pecah ketika hujan lebat.

Situasi itu bagaimanapun menimbulkan kebimbangan ramai kerana dilihat amat berisiko dan membahayakan keselamatan.

"Nangis tu nangis juga, keselamatan kena jaga, tak pasal-pasal kena sodok dengan lori di lorong tu. Hujan pula tu, jangan fikir semua pemandu boleh nampak kereta berhenti di lorong kecemasan," komen @r_yussairi.

Justeru, rata-rata warganet memberikan beberapa saranan lain buat pengguna jalan raya yang berdepan dengan situasi sama bagi mengelakkan kemalangan.

Mengulas lanjut, ada sesetengahnya menyarankan pemilik kenderaan terbabit menggunakan perkhidmatan PLUS Malaysia Berhad (PLUS).

"Kalau di lebuh raya tak digalakkan tukar tayar sendiri, hubungi PLUS, mereka akan datang bantu, ini untuk elak sebarang kemalangan berlaku," komen @AnakPakChot.

Namun, ada juga yang menyarankan supaya pengguna jalan raya menghubungi pihak insurans untuk mengalihkan kenderaan rosak ke tempat lebih selamat.

"Kalau kejadian sama berlaku lagi dan tiada orang berhenti, anda boleh cuba hubungi insurans sebab mereka akan bagi perkhidmatan tunda secara percuma tapi kena pastikan kawasan paling sesuai," cadang @IWANJELA.

Ada juga yang menyatakan bahawa keadaan itu bergantung kepada polisi syarikat insurans diambil dan dikira mengikut jarak kenderaan. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram