Sistem perparitan Jalan Alor cemar imej Segi Tiga Emas Bukit Bintang


  • Massa
  • Selasa, 17 Sep 2024

Nampak indah namun siapa sangka tempat menarik seperti Kuala Lumpur berdepan dengan masalah sistem perparitan. — Agensi

WALAUPUN menjadi sebahagian daripada Segi Tiga Emas di Kuala Lumpur, lorong kecil sekitar Bukit Bintang, khususnya di kawasan sibuk seperti Jalan Alor, menunjukkan imej berbeza yang boleh disifatkan sebagai terbiar dan mudah terdedah kepada kemalangan.

Difahamkan, terdapat longkang yang terbiar tanpa ditutup serta pembaikan tergendala yang mengancam keselamatan awam di lorong-lorong sekitar kawasan itu.

Malah, kehadiran kedai makan ternama hanya meningkatkan risiko kepada orang ramai yang pasti bimbang tentang keadaan infrastruktur di zon komersial utama terutamanya susulan kejadian lubang benam di Masjid India baru-baru ini.

BACA LAGI: [VIDEO] 'Influencer' terkenal, Speed nyaris kemalangan ketika lawat KL

BACA LAGI: [VIDEO] Kuching City makin 'mengganas', bintang JDT sah perkuat The Cats

Jalan Alor

Keadaan Jalan Alor yang boleh disifatkan sebagai terbiar dan mudah terdedah kepada kemalangan.

Susulan aduan orang ramai mengenai keadaan parit dan sistem perparitan yang menyedihkan di ibu kota, StarMetro berkesempatan melawat kawasan terbabit untuk memantau keadaan semasa.

Hasil pemantauan mendapati terdapat beberapa longkang yang tidak tertutup dan rosak di salah satu kawasan belakang Jalan Alor.

Berdasarkan tinjauan, terdapat lima longkang yang didapati tidak tertutup, termasuk ada daripada penutup itu sudah rosak dengan hanya papan kayu diletakkan sebagai penyelesaian sementara.

Struktur terdedah tersebut jelas menimbulkan risiko yang serius kepada pejalan kaki khususnya yang menggunakan laluan itu pada waktu malam.

"Selepas tragedi Masjid India, saya sedar tentang bahaya yang boleh diakibatkan oleh longkang dan lurang yang terdedah.

“Ia seperti 'bom jangka'. Dengan penutup longkang yang hilang, lubang lurang kumbangan terdedah, infrastruktur runtuh dan hujan yang kerap di sekitar bandar, hanya menunggu masa sebelum seseorang cedera parah," kata Tracy Tan, seorang eksekutif IT yang bekerja di Jalan Imbi, Bukit Bintang.

Bukit Bintang

Keadaan Bukit Bintang yang kini menarik ramai pelancong dalam atau luar negara.

Di samping itu, Roger Lee yang bekerja berhampiran kawasan itu turut mendedahkan bahawa lorong di belakang Bukit Bintang ketika ini sangat teruk lebih-lebih lagi pada waktu malam.

“Pencahayaan yang kurang baik menjadikan kawasan ini sangat berbahaya dan boleh mengundang kemalangan berlaku, terutamanya bagi pejalan kaki yang tidak peka dengan keadaan sekeliling," katanya.

Pengerusi Jawatankuasa Alam Sekitar Pusat (BBCEC) Bukit Bintang, Simon Leong berkata, mereka mula menyedari keadaan longkang ketika sedang melakukan aktiviti riadah bulanan mereka.

Lubang benam

Kejadian tanah jerlus atau lubang benam seperti berlaku berhampiran Masjid India (gambar kiri) pada Jumaat bukan kali pertama berlaku di Kuala Lumpur. Pada 2014, sebuah lokasi di Jalan Hang Tuah (gambar kanan) turut pernah mengalami kejadian lubang benam yang merosakkan jalan tersebut.

“Dua minggu lalu, kami melihat keadaan longkang dengan penutup yang pecah, jeriji hilang dan pembaikan sementara yang telah dipasang.

“Kami melaporkan perkara itu kepada Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL). Isu-isu ini semakin berlarutan di lorong belakang dengan longkang dalam keadaan teruk.

"Walaupun papan kayu adalah langkah sementara untuk berjaga-jaga, kami berharap pihak berkuasa akan menangani perkara ini dengan segera," jelasnya.

Dalam perkembangan sama, pegawai dari Unit Komunikasi Korporat DBKL ketika dihubungi berkata, mereka sedang menyemak perkara itu dan akan memastikan jabatan berkaitan dimaklumkan. — The Star/BAVANI M

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram