Sindrom pasca denggi umpama tsunami, pesakit berisiko hidap radang kronik, perlu rawatan dan penjagaan rapi


  • Sihat
  • Rabu, 18 Sep 2024

Bahwanee Muthusamy bertarung selama berbulan-bulan akibat penyakit denggi.

RAMAI orang menganggap denggi sebagai satu penyakit yang tidak perlu diambil serius.

Di mata masyarakat umum, denggi yang melibatkan kes teruk jarang berlaku memandangkan anggaran hanya satu dalam 20 kes yang direkodkan.

Bagaimanapun, setakat 20 Julai 2024, kes denggi terkumpul di seluruh negara sudah mencecah 83,131 kes.

BACA LAGI: 'Ratu contest' gemar doodle di malam hari, anggap lukisan terapi kesihatan mental

BACA LAGI: Norehan 'tak kosong', kaki motor pernah kena paksa buka tudung, kongsi perlu arif jalan sebelum 'ride' di negara orang

6293944392838398175

Kes nyamuk denggi semakin meningkat di seluruh negara.

Memandangkan jumlah kes denggi naik mencanak, kita tidak boleh lagi mengambil enteng perkara itu, apatah lagi dengan kesannya yang membahayakan.

Manakan tidak, pesakit denggi yang teruk biasanya memerlukan kemasukan ke hospital dan berkemungkinan tinggi mengalami pendarahan dalaman, kebocoran plasma, kerosakan organ, masalah pernafasan dan kematian.

Bahkan, jangkitan kedua berkemungkinan tinggi akan terjadi dengan lebih teruk.

Bagaimanapun, statistik itu tidak memberi kelegaan kepada mereka yang mengalami kesan jangkitan denggi teruk yang berlarutan.

Keadaan itu diiktiraf dari segi perubatan, tetapi kurang diketahui dan ia dikenali sebagai sindrom pasca denggi.

Bagi seorang pesakit, Bahwanee Muthusamy, perjalanan hidupnya yang sukar bermula apabila dia disahkan menghidap demam denggi.

Kini selepas lebih enam bulan, belum ada tanda yang kesengsaraannya akan berakhir.

“Ini kali kedua saya menghidap demam denggi, kali pertama kira-kira lima tahun lalu. Pada mulanya saya cuma demam ringan dan ujian yang dijalankan di klinik tidak mengesan denggi.

"Saya diberitahu ia hanyalah demam akibat jangkitan virus," katanya.

6293944392838398190

Perjalanan hidup Bahwanee Muthusamy sukar sejak disahkan menghidap demam denggi.

Bagaimanapun, Bahwanee berkata, pada keesokan harinya, dia mengalami sakit kepala yang teruk, disertai muntah, cirit-birit dan kiraan platelet menurun hingga 40.

"Saya rasa sangat sakit sampai tak ingat pun saya dibawa ke hospital. Abang bawa saya ke Jabatan Kemalangan dan Kecemasan (A&E) sebelum dimaklumkan oleh doktor tentang keadaan saya yang sudah kritikal. Pada waktu itu, hati saya sudah pun terjejas.

"Saya menjadi sangat lemah sehingga tidak boleh berjalan dan tidak boleh makan selama lima hari," katanya.

Jangkitan denggi memaksa Bahwanee untuk bercuti panjang iaitu selama dua minggu bagi menerima rawatan di hospital dan disusuli dengan dua bulan cuti sakit.

Dalam tempoh berkenaan, dia bukan sahaja tidak boleh memandu malah tidak mampu untuk duduk lama kerana saraf pada pinggangnya termampat.

Pakar Perunding Perubatan dan Intensivis, Dr Shanthi Ratnam berkata, pengalaman Bahwanee itu dikenali sebagai sindrom pasca denggi, iaitu manifestasi klinikal demam denggi yang berlarutan melebihi enam minggu selepas fasa akut tamat.

"Kita masih tidak tahu berapa lazim keadaan ini berlaku, tetapi oleh kerana kini ia semakin dikenali, sesetengah kajian menganggarkan kelazimannya adalah antara 18 hingga 50 peratus," katanya.

6293944392838398173

Setakat 20 Julai 2024, kes denggi terkumpul di seluruh negara sudah mencecah 83,131 kes.

Apa itu Sindrom Pasca Denggi?

Mereka yang mengalami sindrom pasca denggi atau post-dengue syndrome (PDS) cenderung untuk mengalami simptom seperti keletihan daripada tahap ringan hingga sangat melesukan.

Di samping itu, pesakit mengalami simptom rangka otot seperti sakit otot, sendi atau sendi bengkak yang dikenali sebagai artritis reaktif, selain simptom berkaitan saraf (neurologi) seperti daya tumpuan yang lemah atau pening.

Namun, tiada ujian khusus yang boleh menentukan secara muktamad tentang simptom yang dialami oleh seseorang pesakit itu sebagai PDS.

Perkara itu menimbulkan cabaran kepada pesakit dan pengamal penjagaan kesihatan.

Dr Shanthi berkata, pakar klinikal di hospital lebih berkemungkinan untuk mengenal pasti kes PDS buat masa sekarang.

Ini kerana, denggi sering didiagnosis oleh pengamal perubatan am manakala pakar klinikal biasanya memberikan penjagaan susulan dan mempunyai kebolehan yang lebih baik untuk memerhatikan simptom-simptom yang berlarutan.

“Kami menjalankan rawatan susulan secara mingguan untuk pesakit selama empat minggu iaitu dalam tempoh ini kebanyakannya pulih sepenuhnya.

"Kami juga menemui pesakit yang mengalami simptom selama enam minggu dan lebih, bagaimanapun ia jarang berlaku," katanya.

Sebelum pengesahan PDS, doktor perlu mengambil kira banyak faktor termasuk sejarah perubatan pesakit dan menyiasat punca-punca lain yang boleh menimbulkan simptom berkenaan.

Contohnya, jangkitan sekunder sering terjadi apabila sistem imun pesakit terjejas, manakala sendi yang bengkak pula boleh disebabkan oleh gout.

Untuk membantu mengetepikan kemungkinan punca-punca lain, pesakit mungkin disyorkan menjalani ujian darah atau pengimejan.

Hanya selepas segala penyebab lain dikeluarkan dari senarai, barulah doktor boleh membuat kesimpulan bahawa pesakit mengalami sindrom pasca denggi.

6293944392838398199

Pengawalan dan pembersihan tempat air adalah penting untuk mencegah pembiakan nyamuk.

Perjalanan Pemulihan Yang Panjang dan Sukar

Bagi Bahwanee, PDS yang dialaminya sudah berlarutan melebihi enam bulan dan belum ada tanda ia akan berakhir.

“Ini adalah pengalaman yang dahsyat. Ia menjejaskan setiap perkara yang saya lakukan.

"Bahkan perkara yang mudah seperti naik tangga kini menuntut banyak tenaga, dan saya tidak boleh bekerja seperti dulu kerana saya rasa cepat penat.

"Saya juga dilanda masalah hormon dan tidak datang haid sejak jatuh sakit.

"Satu lagi tamparan hebat bagi saya adalah keguguran rambut, seolah-olah saya menjalani kemoterapi, yang memaksa saya berambut pendek," katanya.

Tidak hanya itu, Bahwanee berkata, sistem imun yang terjejas teruk menyebabkan dia mudah jatuh sakit sehinggakan antibiotik dirasainya seperti tidak berkesan.

"Tidak cukup dengan itu, asma yang saya hidapi semakin kerap menyerang,” kata Bahwanee.

Selain itu, Dr Shanthi menambah, PDS juga boleh menjejaskan kesihatan mental seseorang.

“Sindrom pasca denggi boleh memberi kesan buruk kepada kualiti kehidupan seseorang dan pengalaman itu boleh menyebabkan kemurungan, terutama bagi orang yang menjangkakan mereka menghidap denggi yang ringan.

"Contohnya, orang yang masih muda dan aktif mungkin mendapati ia melemahkan kerana sentiasa penat, pening, berasa sakit, kurang selera makan dan tidak boleh meneruskan aktiviti normal mereka selama berminggu-minggu atau berbulan-bulan," katanya.

Tampil menjelaskan lanjut, Dr Shanthi berkata, ketika itu, mereka akan kehilangan jisim otot dan mengalami kesan lain akibat penyakit yang berlarutan.

Bahkan, Dr Shanthi berkata, sesetengah pesakit mungkin tidak dapat menerima hakikat yang mereka mengalami simptom-simptom terbabit kerana tidak pernah mendengar tentang sindrom pasca denggi.

Pasca denggi seperti tsunami

Untuk memudahkan pemahaman, Dr Shanthi mengumpamakan PDS seperti tsunami iaitu walaupun serangan berlalu pergi, namun kemusnahannya meninggalkan keradangan kronik dan menyebabkan sistem imun menjadi sangat aktif.

Tambahan pula, kesannya akan lebih teruk jika pesakit pernah menghidap demam denggi.

Ini kerana, dengan empat strain virus denggi yang berbeza, seseorang itu boleh dijangkiti sehingga empat kali dan jangkitan kedua mempunyai kemungkinan lebih tinggi untuk menjadi denggi yang teruk.

Secara keseluruhan, Dr Shanthi berkata, pesakit berusia dan golongan komorbid (seperti pesakit yang menghidap hipertensi, penyakit jantung iskemia, obesiti) dan penyakit autoimun lebih cenderung mengalami denggi yang teruk sehingga meningkatkan kebarangkalian berhadapan dengan sindrom pasca denggi.

Dalam kelompok itu, orang tua lebih berkemungkinan memerlukan penjagaan kebergantungan tinggi atau rawatan rapi kerana kesihatan mereka boleh merosot dengan lebih cepat, dan simptomnya pula berlarutan dalam tempoh lebih lama.

Bagi mereka yang sedang berada dalam fasa pulih daripada denggi, Dr Shanthi menasihatkan supaya mendapat rehat secukupnya, tidur selama lapan hingga 10 jam setiap malam dan mengambil makanan seimbang dengan lebihkan buah-buahan serta sayur-sayuran.

Dr Shanthi juga berkongsi nasihat yang perlu dibuat oleh penjaga supaya dapat memulihkan pesakit di bawah jagaan mereka.

- Kanak-kanak: Walaupun mereka cenderung untuk pulih dengan lebih cepat, tetapi lebih baik untuk berehat di rumah dan tidak ke sekolah selama seminggu, sebelum beransur-ansur meneruskan aktiviti harian mereka.

- Orang tua: Orang tua digalakkan untuk tidur siang dengan kerap dan berehat secukupnya pada waktu malam. Ini kerana, badan memerlukan rehat untuk melakukan proses pemulihan kendiri dan orang tua mengambil masa yang lebih panjang untuk pulih.

- Individu yang menghidap diabetes dan hipertensi: Mereka lebih cenderung untuk mengalami tekanan darah yang sangat rendah selepas keluar dari hospital.

Akibatnya, mereka mungkin tidak perlu menyambung semula pengambilan ubat dengan segera, atau dos mungkin perlu diselaraskan buat sementara waktu.

Jadi, amat penting perkara ini dibincangkan dengan doktor untuk memastikan pemantauan dan rawatan susulan yang rapi.

- Mereka yang berisiko tinggi mengalami pendarahan: Pesakit seperti ulser perlu dipantau untuk memerhatikan tanda-tanda amaran contohnya najis yang berwarna gelap dan melekit.

Mencegah Denggi dan Sindrom Pasca Denggi: Apa Yang Diperlukan?

Oleh kerana denggi merupakan endemik di Malaysia, maka langkah utama untuk membendungnya adalah melalui pencegahan.

Pakar menyarankan pendekatan pelbagai dimensi memandangkan tiada satu kaedah kawalan yang berkesan sepenuhnya.

“Sepanjang kerjaya perubatan saya, saya telah melihat pelbagai kaedah digunakan untuk mengawal denggi, tetapi kes terus meningkat.

“Kita perlu kembali kepada asas. Contohnya, rakyat dan penggubal dasar perlu melihat semua kawasan di mana air terkumpul, seperti bekas terbuang dan palung air hujan. Di Singapura, palung ini diharamkan kerana diketahui ia menjadi tempat pembiakan nyamuk," katanya.

6293944392838398203

Air bertakung boleh jadi punca pembiakan nyamuk Aedes.

Pada masa sama, beliau turut menyentuh keperluan untuk meneroka strategi pencegahan yang inovatif seperti vaksin denggi yang diluluskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Februari lalu.

Katanya, perkara itu perlu dipertimbangkan, khususnya bagi individu dengan faktor risiko yang boleh menyebabkan denggi menjadi lebih teruk.

Buat masa ini vaksin denggi boleh didapati di klinik dan hospital swasta.

Vaksin ini diberikan dalam dua dos, dengan bersela masa tiga bulan.

Dr Shanthi berkata, kumpulan berisiko tinggi seharusnya mempertimbangkan pengambilan vaksin.

Ini termasuklah warga tua yang ada masalah kesihatan komorbid kerana mereka lebih cenderung memerlukan penjagaan rapi selain individu penghidap obesiti dan penyakit seperti hipertensi, penyakit jantung iskemia dan autoimun serta orang yang mengambil ubat yang mempengaruhi sistem imun, seperti steroid.

Mereka yang pernah mengalami demam denggi, seperti Bahwanee, masih boleh mengambil vaksin enam bulan kemudian sebagai perlindungan terhadap jangkitan berikutnya daripada strain denggi yang lain.

Dr Shanthi berpandangan, vaksin denggi itu dapat membantu dalam banyak aspek, terutama untuk mengurangkan kemasukan ke hospital kerajaan dan swasta, komplikasi dan kematian.

Vaksinasi

Walaupun terdapat persoalan yang biasa diajukan berkaitan keselamatan dan keberkesanannya, hakikatnya penyelidikan dan pembangunan memang telah dijalankan sejak sekian lama.

Banyak negara yang telah mula menggunakan vaksin ini seperti Thailand, Indonesia dan Brazil.

Malah, Brazil juga memasukkan vaksin ini ke dalam pelan imunisasi kebangsaannya.

"Saya yakin, orang ramai akan berasa lebih selesa dengan vaksin denggi seperti semua vaksin lain pada masa akan datang sehinggakan jumlah kes denggi pasti akan menurun.

“Kesimpulannya, kita perlu memperbaharui komitmen kita untuk memerangi denggi pada setiap peringkat,” katanya.

Bahwanee turut menyokong usaha meningkatkan kewaspadaan yang berterusan dan membawa perubahan dalam persepsi masyarakat.

“Denggi sering dianggap sebagai sekadar demam, tetapi lihatlah apa yang berlaku pada saya.

"Saya gembira sekarang sudah ada vaksin denggi, kerana denggi ini ada di mana-mana di sekeliling kita, jadi tiada siapa yang selamat.

"Inilah sebabnya kita perlu memandang serius perkara ini dan bersikap proaktif supaya kita dapat memerangi ancaman ini bersama-sama," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram