ISU perpisahan pasangan suami isteri selebriti tempatan, Fazura dan suaminya Fattah Amin semakin hangat diperkatakan di media sosial.
Terbaharu, pengawal peribadi Fazura yang menggunakan akaun Instagram @hantugym mencetuskan pelbagai persoalan dan reaksi kepada warganet berhubung status pasangan tersebut.
Dalam hantaran dimuat naik pada Jumaat itu, pengawal peribadi tersebut mendedahkan beberapa bukti bergambar serta luahan perasaan berhubung hubungan sulit yang didakwa terjalin antara Fattah dan penata rias Fazura.
Wanita tersebut juga didakwa mula bertindak mengganggu rumah tangga pasangan itu sejak beberapa bulan yang lalu dan dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Fazura sebelum ini.
Bukan itu sahaja, pengguna akaun sama itu turut meluahkan kemarahannya dengan memuat naik gambar wanita terbabit ketika dibelanja makan di sebuah restoran.
"Orang belanja kau makan cendol, bukan suruh menyondol (mengganggu suami orang lain)," tulisnya.
Untuk rekod, Fattah dan Fazura mendirikan rumah tangga pada November 2017 dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Nur Fatima Aisya yang kini berusia 4 tahun.
Namun, mereka dikatakan sedang dalam fasa perpisahan apabila Fazura dilaporkan sudah memfailkan perceraian terhadap Fattah di Mahkamah Rendah Syariah Petaling, Subang Bestari, Shah Alam, Selangor pada Jumaat.
Kedua-duanya bagaimanapun masih belum mendedahkan sebarang butiran terperinci berhubung status perkahwinan mereka setakat ini. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram