[VIDEO] 'Satu dalam sejuta', kisah pelanggan 'degil' selalu belanja rider makanan jadi ikutan


  • Massa
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Tangkap layar video memaparkan seorang penghantar makanan bersama pelanggannya di sebuah stesen minyak di Seremban baru-baru ini.

SEGALA kebaikan yang dilakukan sememangnya akan memberi impak positif kepada masyarakat.

Sama seperti kisah seorang penghantar makanan p-hailing dengan pelanggannya yang tular di media sosial sejak Sabtu.

Menerusi video dikongsikan warga X @ricxxxkiddo, penghantar makanan itu menunjukkan betapa sikap 'degil' pelanggannya ketika membuat pesanan.

BACA LAGI: 'Orang belanja cendol, bukan suruh menyondol', IG bodyguard Fattah-Fazura cetus persoalan punca perpisahan

BACA LAGI: Pertama kali belajar bahasa isyarat, pelajar UPSI tak menyesal terbang jauh tabur bakti di Indonesia

Dia turut berkongsi tentang amalan sering dilakukan pelanggan lelaki yang bekerja di sebuah stesen minyak di Taman Rasah Jaya, Seremban, Negeri Sembilan.

Pelanggan dikenali sebagai Pavithran itu secara tidak langsung menyentuh hati ramai apabila tidak lupa untuk memesan set makanan dan minuman tambahan buat penghantar p-hailing terbabit.

"Ini pelanggan paling 'degil' pernah aku jumpa sebab dia selalu pesan dua makanan, satu untuk rider, satu untuk dia.

"Dia buat macam ini setiap hari dan ini kali kedua aku dapat pesanan daripada dia," katanya.

Dia pada masa sama meluahkan rasa syukur kerana masih dikurniakan rezeki berjumpa dengan individu yang bersikap pemurah.

Menurutnya, tindakan Pavithran itu sekali gus dapat menghilangkan sedikit kepenatannya di kala terpaksa menamatkan pekerjaan pada pukul 2 pagi.

"Dia bukan tentang kau kaya atau tak, dia soal kemanusiaan," jelasnya.

Sementara itu, rata-rata warganet turut memuji tindakan pelanggan itu serta mengharapkan agar ia menjadi ikutan lebih ramai lagi masyarakat.

"Bila dihargai itu lebih menyentuh hati dan ceriakan hari saya," komen @wongkejuin.

"Satu dalam sejuta, Insya-ALLAH boleh ikut nanti," tulis @CallMeMrsFatin.

"Perkongsian yang sangat baik, terharu pula tengok rider dapat juga makanan," tambah @zeemandarin.— Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram