[VIDEO] Brek tak makan didakwa punca kemalangan maut babit 10 kenderaan di Seremban


  • 112
  • Rabu, 18 Sep 2024

Seorang lelaki maut selepas terbabit kemalangan melibatkan 10 kenderaan termasuk dua lori muatan batu dalam kejadian di Lingkaran Tengah Seremban pada Rabu.

SEORANG lelaki maut, seorang parah manakala dua lagi cedera selepas terbabit kemalangan melibatkan 10 kenderaan termasuk dua lori muatan batu dalam kejadian di Lingkaran Tengah Seremban, Negeri Sembilan pada Rabu.

Beberapa video dan gambar memaparkan kemalangan tersebut turut tular di laman media sosial.

Melalui maklumat awal yang dikongsikan oleh seorang warga maya, Ezwad Noranoreal mendakwa lori tersebut mengalami masalah brek ketika kejadian.

BACA LAGI: Tak kisah dijeling orang awam, anggota RELA sanggup berhujan panas demi teruskan legasi ayah

BACA LAGI: Tak sangka, abang bomba viral dukung warga emas rupanya pelantun lagu Iban 'Ke Pengujung Seput'

"Sahabat saya pemandu lori itu, siapa salah atau betul belum ada kepastian tetapi punca kemalangan brek tak makan. Sama-sama kita doakan semoga dipermudahkan segala urusan mangsa," katanya.

Sementara itu, Penguasa Bomba Kanan 1 (KUP), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Hamlan Ishak berkata, mangsa lelaki berusia 40-an itu disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala dan badan.

Katanya, pihaknya menerima panggilan kecemasan berkaitan kejadian pada pukul 1.28 petang.

"Sepasukan anggota bomba seramai lima orang dari Balai Bomba dan Penyelamat Seremban bersama satu jentera dikejarkan ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja-kerja penyelamatan.

"Kemalangan tersebut melibatkan kereta antaranya Perodua Myvi, Proton Persona, Nissan Extrail, Perodua Kancil, Honda City dan pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton serta dua buah lori muatan batu," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas beliau lagi, setibanya di lokasi pihak bomba mendapati terdapat empat mangsa di dalam sebuah kereta Proton Saga dengan seorang daripadanya iaitu pemandunya maut.

"Kami mengambil masa kira-kira dua jam untuk mengeluarkan mangsa yang meninggal dunia akibat tersepit dengan bantuan kren sebelum diserahkan kepada pihak polis.

"Sementara itu, pemandu lori pula mengalami kecederaan ringan dan kesemua mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban untuk rawatan lanjut," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram