'Sukan ni taraf hobi je', tindakan kelab Sarawak tarik diri AFL kukuhkan hujah Bobie situasi semasa bola sepak lokal


  • Podium
  • Selasa, 17 Sep 2024

Sebahagian sesi latihan akhir Machan FC sebelum sah menarik diri dari Liga A1 Semi Pro.

BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan keputusan luar jangka pasukan Machan FC yang menarik diri dari saingan Liga A1 Semi Pro.

Menurut Presiden Machan FC, Azizi Fauzi, pasukan itu terpaksa menarik diri daripada Liga A1 berikutan kekangan dana selain peningkatan kos penerbangan yang semakin meningkat khususnya bagi menghadapi perlawanan di tempat lawan.

Seperti yang diketahui, kewujudan badan penganjur liga bawahan Malaysia, Amateur Football League (AFL) adalah untuk mengendalikan saingan semi-pro.

BACA LAGI: [VIDEO] Bekas tonggak JDT anggap rakan sepasukan di Sri Pahang ibarat Carlos Tevez

BACA LAGI: [VIDEO] Kuching City makin 'mengganas', bintang JDT sah perkuat The Cats

Musim 2024/25 menyaksikan saingan Liga M3, Liga M4 dan Liga M5 bertukar nama menjadi Liga A1 Semi-Pro, Liga A2 Amateur dan Liga A3 Community. Akan tetapi, saingan Liga A1 Semi-Pro akan kekal dikenali sebagai MBSB Bank Championship atas faktor penajaan.

Keputusan itu menyaksikan pelbagai pihak memberikan pandangan masing-masing yang beranggapan langkah dibuat Machan FC menceritakan situasi sebenar bola sepak negara.

Malah, tidak terkecuali memberi pandangan ialah bekas CEO Interim Perak FC, Bobie Farid Shamsudin yang mengakui perkara itu sukar untuk dielak.

Bobie berpendapat bahawa sukan bola sepak dalam Malaysia hanyalah bertaraf 'hobi'.

"AFL ni wujud sebab nak standby jika Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) j*h*n*m, mereka akan standby. Solusi dia mana wahai pihak pihak berwajib?.

"Sembang sana sini mcm bagus saja, dah lah tak payah main bola Malaysia, main suka-suka lawan kampung ke daerah lebih baik, kalau pasal padang, main saja dekat mana ada, sukan ni bertaraf hobi saja," tulisnya di Facebook.

Sebelum ini, Bobie mengakui bahawa sukan bola sepak tanah air seolah-olah sukar untuk diperbaiki lagi dan hanya merugikan.

Meskipun Bobie bersama XOX Pro Sport Sdn Bhd sudah menghidupkan semula pasukan itu, rasa tidak pernah cukup daripada peminat setia kelab semestinya memberi tekanan buat dirinya.

Jadi, selepas kira-kira dua tahun memikul peranan itu, Bobie yang juga merupakan CEO XOX Sdn Bhd memilih untuk melepaskan jawatan yang sehingga kini tidak diisi itu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram