JOHOR Darul Ta’zim (JDT) sentiasa menjadi penanda aras buat pasukan Liga Malaysia (Liga M) dan bahkan juga menjadi rujukan terbaik buat kelab serantau khususnya dalam aspek untuk membangunkan kelab bola sepak yang sukses.
Mempunyai kepimpinan dan visi yang jelas, disusuli pembangunan serta pencarian bakat pemain, skuad Harimau Selatan kini menjadi satu-satunya pasukan tanah air yang merangkul `double quadruple' dua musim berturut-turut.
Kejayaan manis itu diraih selepas pasukan di bawah pimpinan Pemangku Sultan Johor, Tunku Ismail Ibrahim atau dikenali sebagai TMJ berhasil menyapu bersih Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan terakhir Piala Liga Super pada musim 2022 dan 2023.
BACA LAGI: Ramon Marcote cabar CEO MFL beri nafas baharu, berani eksport pemain tempatan ke Eropah
BACA LAGI: Enam daripada 11 tak senyum, fans Kedah sudah 'predict' awal keputusan lawan KL City
Bukan hanya cemerlang di peringkat skuad senior, Harimau Selatan juga sebenarnya sedang mengasah banyak bakat di Akademi JDT bagi memperlihatkan komitmen perancangan jangka panjang untuk sentiasa mengekal kejayaan kelab elit itu.
Dengan menjadi satu-satunya akademi bertaraf dua bintang oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), tidak hairanlah JDT terus menjadi kelab impian untuk setiap pemain belia.
Hasrat itu juga disampaikan oleh dua pemain harapan SMK Shah Alam yang baru sahaja membantu sekolah itu memenangi Piala Datuk Mokhtar Dahari Bawah 18 (B-18) Tahun selepas menewaskan SMK TTDI Jaya dengan keputusn 4-1 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Ogos lalu.
Khalish Fakhrey menerima Anugerah Pemain Terbaik perlawanan.
Khalish Fakhrey Mohd Razilan yang menerima Anugerah Pemain Terbaik itu menyatakan bahawa fasiliti bertaraf antarabangsa yang ada di JDT menarik minatnya untuk mamasang impian beraksi bersama pasukan Selatan tanah air tersebut.
“Kelab impian saya nak main dengan Real Madrid tapi kalau Malaysia saya nak bermain dengan JDT. Fasiliti JDT sangat baik dan saya minat cara mereka main. Selain itu, baju yang dihasilkan JDT setiap tahun pun lawa,” katanya kepada Majoriti.
Meskipun menjadikan Harimau Selatan sebagai kelab impian, Khalish Fakhrey masih meletakkan pemain Selangor FC iaitu Alex Agyarkwa sebagai idola susulan ketenangan import itu ketika bermain dan mempunyai kawalan bola yang baik.
Berbeza dengan penerima Anugerah Penjaring Terbanyak untuk kejohanan itu, Vincenzo Oliveo D’Dozzel Donny pula mengangkat bintang Harimau Selatan, Arif Aiman Hanapi sebagai idola dalam perjalanannya sebagai seorang pemain bola sepak.
Vincenzo Oliveo dinobatkan sebagai Penjaring Terbanyak kejohanan Piala Mokhtar Dahari.
Arif Aiman juga menjadi faktor Vincenzo Oliveo turut memasang hasrat menyertai Harimau Selatan sekiranya pemain berusia 16 tahun itu berpeluang menjadikan bola sepak sebagai kerjaya profesional.
“Inspirasi saya nak terus cetak gol demi Shah Alam adalah Arif Aiman. Saya akan tengok Arif Aiman dahulu sebelum bermain. Sebab itu kelab impian saya adalah JDT sebab idola saya di JDT. Memang impian saya nak main dengan Arif Aiman,” kongsinya.
Untuk rekod, sebanyak 32 pasukan menyertai Kejohanan Piala Dato’ Mokhtar Dahari pada Ogos lalu sebelum SMK Shah Alam dinobatkan sebagai juara kejohanan berkenaan. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram