SEKIRANYA anda berjalan bersiar-siar cukup lama di sekitar Lembah Klang, anda pastinya akan terjumpa dengan mesin kitar semula milik Klean.
Ia boleh dilihat berada di mana-mana sama ada di pusat beli-belah, menara pejabat dan bangunan kondominium.
Mesin berkenaan tersedia untuk mereka yang mahu menukarkan botol plastik, tin dan bekas bungkusan untuk ganjaran yang dikira berdasarkan mata.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Klean, Datuk Dr Nick Boden berkata, hanya dalam tempoh setahun setengah, mereka sudah berjaya merekodkan kira-kira seramai 60,000 pengguna.
"Jadi ia berjaya dilakukan dengan sangat baik. Kami mempunyai lebih daripada 60 mesin sekarang dan kami akan meningkatkannya secara beransur-ansur," kongsi beliau.
Klean yang merupakan syarikat pemula tempatan menyasarkan untuk memperkukuh amalan kitar semula di dalam negara dengan ekosistem mesin layan diri yang dikuasakan dengan kecerdasan buatan (AI) yang dibinanya.
Melalui aplikasi Klean Recycling App, pengguna boleh mengumpul mata untuk setiap barang kitar semula yang mereka hantar, dan menebusnya untuk ganjaran daripada rakan kongsi seperti Grab, Touch ‘n Go dan Amanah Saham.
Nick yang memiliki latar belakang professional dalam bidang penjagaan kesihatan, idea untuk mewujudkan Klean mula tercetus ketika dia menggunakan mesin pencetak 3d mencipta pengalas kasut mengikut kesesuaian individu yang memiliki tapak kaki rata.
Ketua Pegawai Eksekutif Klean, Datuk Dr Nick Boden.
Pada awalnya, idea berkenaan membawa kepada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi menyediakan tangan palsu bercetak 3D kepada kanak-kanak yang mengalami kecacatan genetik atau kehilangan atau kecederaan tangan mereka.
Bagaimanapun, sebagai satu cara untuk melibatkan kesedaran alam sekitar bagi dalam projek berkenaan, penerima diminta untuk mengumpul botol plastik Polyethylene Terephthalate atau PET dan memberikannya sebagai timbal balas untuk tangan prostetik.
Susulan itu, dia juga mendapat inspirasi tambahan ketika berada di Jerman selepas melihat sendiri proses pelaksanaan skim pulangan deposit di tempat kerja yang dilaksanakan di negara itu.
Minuman dalam botol dan tin dijual dengan deposit kira-kira 25 sen, dan pengguna diberi insentif untuk membawa bekas kosong ke mesin layan diri kitar semula bagi mendapatkan bayaran.
"Saya mahu membina mesin layan diri terbalik di sini, tetapi saya tidak suka idea mengimbas kod bar. Sebaliknya, kami mahu menggunakan AI, "katanya.
Setakat pengetahuannya, Nick berkata, mesin Klean adalah satu-satunya yang menggunakan AI untuk mengenali pelbagai jenis bekas.
Nick seterusnya menerangkan bahawa setiap mesin mempunyai papan pemuka yang mengumpul maklumat tentang kuantiti bekas yang dikitar semula, pemarkahan jejak karbon dan demografi kitar semula.
Data ini telah terbukti cukup bernilai kepada organisasi rakan kongsi yang berusaha untuk memacu langkah ke kemampanan yang menyeluruh.
Dalam pada itu, Nick berkata, pada Ketika ini, pelanggan dan rakan kongsi syarikatnya tidak perlu untuk membeli mesin.
Sebaliknya, beliau berkata, pelanggan hanya perlu membayar secara bulanan dengan syarikatnya akan membantu mereka untuk mengenal pasti lokasi, penyediaan data dan kemas kini terbaharu daripada AI yang sentiasa memberikan maklumat terbaharu mengenai jenis bekas yang diterima.
Pengguna boleh menggunakan aplikasi Klean Recycling App untuk menerima mata dan ganjaran.
"Akhirnya, semuanya adalah mengenai data - apakah yang anda kumpulkan semula, siapa yang mengitar semula, apakah jenis jejak karbon yang diterima?
"Kami menyedari bahawa teknologi dan infrastruktur adalah komponen penting untuk seluruh ekonomi kitaran.
Mengulas mengenai manfaat yang diperolehi oleh perniagaan hasil daripada invovasi tersebut, Nick berkata, ia tidak datang dalam bentuk pulangan wang ringgit.
Sebaliknya, menurut beliau, kebaikan yang akan diperolehi oleh perniagaan yang bekerjasama dengannya hadir dari segi peningkatan hubungan awam atau PR dan pelanggan.
"Kami telah membuktikannya, dengan Amanah Saham sebagai contoh: 40 peratus individu yang menukar plastik mereka kepada mata dan menebusnya dengan Amanah Saham adalah pelanggan baharu," ujarnya.
Rancangan perluas sisa buangan selain bekas makanan dan minuman
Sementara itu, Nick berkata, Klean Ketika ini turut melihat kepada penyelesaian untuk melibatkan beberapa jenis bekas lain yang turut boleh dikitar semula oleh mesinnya.
Ujarnya, Klean turut sedang berada dalam perancangan untuk memperkenalkan skim yang sesuai untuk orang ramai mengasingkan sisa di rumah dengan dengan system dipanggil 'Klean bag' yang akan menggunakan system ganjaran sedia ada.
"Data kami menunjukkan tempat kitar semula yang paling popular ialah stesen minyak dan kedai serbaneka. Jadi kami ingin mencipta mekanisme dan infrastruktur untuk orang ramai mengitar semula di tempat tersebut.
"Ia akan melibatkan beg dengan kod QR yang memerlukan pengguna mengimbasnya dalam aplikasi kami dan memasukkan beg botol anda ke dalam mesin.
"Kemudiannya kami akan mengkreditkan mata ke akaun pengguna dalam 48 jam. Walau bagaimanapun, ia memerlukan kontena skim deposit kontena dalam skala yang besar , dan akhirnya hanya kerajaan yang mampu memacu perkara ini," ujarnya.
Sebanyak 60 mesin kitar semula Klean kini sudah ditempatkan di sekitar Lembah Klang.
Mengulas mengenai matlamat ditetapkan pada tahun ini, Klean berkata, syarikatnya akan menumpukan fokus bagi terus meningkatkan skala operasinya.
Beliau turut menjangkakan bahawa Klean berkemungkinan akan memiliki sebanyak 65 mesin menjelang penghujung tahun ini.
"Pada masa sama kami juga berharap untuk mencapai angka ajaib iaitu sebanyak 100 mesin. Itu akan memberi kami peluang meluaskan skala operasi dan membantu membuktikan sisi lain perniagaan kami iaitu pengiklanan.
"Kami juga berhasrat untuk bekerjasama dengan kerajaan dan meyakinkan mereka bahawa lebih cepat mereka memulakan skim deposit kontena, lebih baik untuk Malaysia.
"Ia bukan sahaja dari sudut alam sekitar tetapi juga untuk mengeluarkan Malaysia daripada 10 senarai teratas negara yang mengendalikan plastik lautan, sisa plastik dan mengimport sisa plastik dengan cara yang salah," katanya.
Pada masa sama, Nick berkata, Klean juga sedang mencari peluang untuk berkembang di lebih banyak kawasan luar bandar dan negeri seperti Pulau Pinang serta yang terletak di Pantai Timur.
Buat waktu ini, menurut beliau, syarikatnya turut menerima minat dari Sarawak untuk membawa teknologinya ke negeri terbabit.
"Kami benar-benar hanya memberi tumpuan kepada Malaysia, jadi itulah matlamat kami pada peringkat ini," ujar beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram