Pertama kali belajar bahasa isyarat, pelajar UPSI tak menyesal terbang jauh tabur bakti di Indonesia


  • Massa
  • Jumaat, 13 Sep 2024

Pelajar UPSI bersama peserta OKU di Indonesia belajar berkomunikasi dalam bahasa isyarat.

PROGRAM Khidmat Komuniti Antarabangsa (International Joint Community Service) di Kampung Pinilih, Yogyakarta, Indonesia anjuran pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) memberi peluang istimewa kepada peserta mendalami dan menimba ilmu baharu.

Dilaksanakan melalui Exco Kesukarelawan Komuniti dan Kemanusiaan, Majlis Mahasiswa Luar Kampus (MMKLK), program tersebut juga mendapat kerjasama dari Fakulti Psikologi di Universiti Mercy Buana Yogyakarta (UMBY).

Selain mengenali kepelbagaian budaya, program itu bertujuan untuk membuka peluang kepada peserta memberi sumbangan khidmat masyarakat terutamanya melibatkan penduduk orang kelainan upaya (OKU) dari Yayasan Pinilih Sedayu.

BACA LAGI: [VIDEO] Budaya 'cilok' penunggang motor di Eropah boleh jadi contoh di Malaysia

BACA LAGI: Penantian zuriat selama 14 tahun berkecai, bapa tuntut bela kematian Al Fateh disyaki maut di tangan pengasuh Taska Alor Gajah

WhatsApp Image 2024-09-12 at 15.43.29

Program Khidmat Komuniti Antarabangsa yang melibatkan peserta OKU dari Yayasan Pinilih Sedayu, Indonesia.

Menggalas tanggungjawab besar sebagai Pengarah program, Felicia Bua Jepri tidak mahu terlepas berkongsi suka duka sepanjang terlibat dengan aktiviti komuniti itu selama empat hari bermula 20 hingga 24 Ogos lalu.

Pelajar semester empat Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pendidikan Moral) UPSI berusia 22 tahun itu berkata, ia merupakan satu pengalaman baharu buatnya untuk lebih menyelami keadaan masyarakat OKU di Indonesia.

Menurutnya, program tersebut turut memberi pendedahan lebih meluas tentang kesihatan mental dan fizikal melalui aktiviti-aktiviti yang diadakan bersama peserta.

Antara aktiviti dilakukan bersama peserta OKU adalah melukis dan mewarna beg canvas.

"Aktiviti itu sebenarnya adalah untuk kami menyelami lagi jiwa mereka dan lukisan di beg itu juga dapat menggambarkan apa mereka rasa ketika itu.

"Ada yang sedih, kecewa dan gembira apabila melihat lukisan mereka," katanya kepada Majoriti.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 15.45.48

Pelajar UPSI dapat menyelami keistimewaan golongan OKU melalui program tersebut.

Felicia pada masa sama meluahkan keterujaannya apabila dapat belajar cara berkomunikasi dengan peserta OKU kategori bisu (tidak boleh bercakap) dan tuli (tidak boleh mendengar) buat kali pertama.

Katanya, ilmu tersebut dipelajarinya daripada seorang peserta lelaki dalam program tersebut yang menetap sekitar Kampung Pinilih.

"Bagi saya yang tak pernah belajar ilmu ini memang rasa seronok sebab individu OKU itu sendiri ajar kami.

"Dia ajar kami cara asas, bercakap terima kasih, saya sayang awak, guna huruf dan abjad dalam bahasa isyarat.

"Sangat mudah untuk faham, beberapa kali sahaja dah boleh hafal," kongsinya.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 15.46.34

Melukis dan mewarna antara aktiviti yang dilakukan bersama para peserta program.

Bercerita lanjut, Felicia tidak dapat menahan rasa sebaknya apabila melihat keadaan seorang peserta perempuan OKU kategori buta (tidak dapat melihat) tetapi masih boleh mendengar.

Katanya, kanak-kanak berusia sembilan tahun itu bernama Nana bagaimanapun cekal menghadapi ujian hidup seawal usia tersebut.

"Ibunya, Puan Nada cerita, anaknya tidak pernah merungut atau menyusahkan keluarganya.

"Nana bukan sahaja buta, dia juga menghidap Cerebral Palsy, tapi semangatnya untuk hidup dan belajar buat saya tabik.

"Dia belajar semua di rumah dengan hanya mendengar dari audio YouTube dan televisyen," jelasnya.

WhatsApp Image 2024-09-12 at 15.48.23

Felicia (kanan) bersama Nana dan ibunya, Puan Nada ketika melakukan aktiviti dalam program tersebut.

Selain mengeratkan hubungan silaturahim sesama manusia, program itu sekali gus bertujuan untuk mempromosikan aktiviti-aktiviti komuniti yang akan dianjurkan oleh pelajar UPSI.

Felicia dalam pada itu berharap agar program sedemikian boleh diperluaskan lagi di tempat lain serta melibatkan kelompok yang lebih besar. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram