PENGGUNA jalan raya berhak berasa selamat tidak kira ketika memandu atau berjalan kaki di kaki lima.
Ini juga melibatkan situasi semasa melintasi persimpangan jalan yang memerlukan daya fokus lebih tinggi bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.
Lazimnya, terdapat beberapa perkara perlu dilakukan sebelum melintas jalan seperti memerhati kenderaan lalu lintas dan amaran pada lampu isyarat.
Lintasan pejalan kaki yang perlu dihormati dan digunakan dengan betul oleh pengguna jalan raya. — Gambar hiasan/The Star
Terdapat juga sesetengah individu menggunakan cara mengangkat tangan sebagai tanda meminta laluan sekiranya jalan tersebut tidak mempunyai lampu isyarat.
Namun, ia sama sekali tidak menjamin keselamatan atau mengurangkan risiko kemalangan terutamanya melibatkan pejalan kaki.
Berdasarkan statistik Kementerian Pengangkutan Malaysia, pejalan kaki di negara ini merupakan kumpulan kematian ketiga tertinggi selepas penunggang, pembonceng motosikal dan pemandu atau penumpang kereta.
Jumlah kematian pejalan kaki juga mempunyai peningkatan dengan seramai 542 orang maut setiap tahun atau sekitar 45 orang setiap bulan.
Oleh itu, terdapat pelbagai usaha dilakukan kerajaan dalam memastikan keselamatan kumpulan yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak dan warga emas.
Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah dengan membina model lampu isyarat dengan memasang penggera khas untuk memberi laluan kepada pengguna melintas jalan dengan selamat.
Penggera khas yang terdapat di beberapa lampu isyarat di Malaysia untuk laluan pejalan kaki. — Gambar hiasan/Agensi
Di kawasan lampu isyarat tersebut juga disediakan lintasan pejalan kaki bagi memudahkan pengguna menyeberangi jalan raya aliran lalu lintas kenderaan.
Ciri keselamatan itu bagaimanapun boleh ditambah baik dengan mengambil contoh di negara Eropah seperti di New Zealand dan Ireland yang melaksanakan kempen 'dilihat, ambil batu bata' (be seen, grab a brick).
Kempen yang dilaksanakan pihak berkuasa keselamatan jalan raya negara itu adalah bertujuan untuk mempromosikan ciri keselamatan bagi pemandu kenderaan yang mungkin tidak dapat melihat pejalan kaki ketika melintas jalan.
Sepanjang kempen itu, pejalan kaki disediakan beberapa bongkah batu bata merah di kawasan persimpangan dan kaki lima jalan berfungsi seakan-akan bendera agar pemandu kenderaan lebih berwaspada.
Bakul diisi dengan batu bata tersebut juga disediakan di dua laluan bertentangan lintasan pejalan kaki bersama papan tanda amaran.
Kedua-dua laluan itu bagaimanapun mempunyai tanda amaran berbeza iaitu 'jalan pejalan kaki' dan 'awas pejalan kaki ada batu bata'.
Mereka juga perlu melambai batu bata itu sepanjang melintasi lintasan pejalan kaki agar dapat dilihat dengan jelas oleh pengguna kenderaan lain.
Langkah itu sekali gus mampu menangani isu pemandu yang gemar melanggar peraturan terutamanya ketika di lampu isyarat.
Ia kerana, memegang batu bata seperti itu boleh disifatkan sebagai satu 'ancaman' atau 'amaran' bagi pengguna kenderaan berasa takut untuk melanggar peraturan.
Pejalan kaki yang terkejut dan secara tidak sengaja menjatuhkan batu bata pada kenderaan berada terlalu dekat dengan mereka akan menerima ganti rugi, malah hukuman atau undang-undang pula akan dikenakan terhadap pemilik kenderaan terbabit.
Pun begitu, pejalan kaki dilarang untuk mengambil kesempatan atau melakukan keganasan secara bebas dengan menggunakan batu bata tersebut.
Antara langkah yang perlu diikut oleh pejalan kaki ketika melintas dengan batu bata.
Justeru, pihak berkuasa di Malaysia boleh mempertimbangkan untuk melaksanakan usaha tersebut bagi memupuk kesedaran lebih meluas dalam kalangan masyarakat.
Kaedah tersebut pada masa sama boleh dimulakan di kawasan berisiko berlaku kemalangan seperti di pusat komersial, perumahan atau sekolah.
Ia juga seiring dengan penggantian kamera Automated Awareness Safety System (AWAS) yang akan dilaksanakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi memastikan penguatkuasaan melibatkan kesalahan memandu melebihi had laju dan gagal mematuhi lampu isyarat berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) sekali gus usaha mengurangkan statistik kemalangan dan kematian akibat nahas jalan raya.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, jumlah kes direkodkan adalah melibatkan 9,198 kenderaan dan 9,653 saman atas enam kesalahan lalu lintas utama dikeluarkan.
Menurutnya, kesalahan paling banyak adalah melanggar lampu isyarat iaitu 3,250 saman, memandu melebihi had laju (2,785) dan menggunakan telefon bimbit semasa memandu (1,316). — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram