'Sama nama, tapi bukan dia', terpalit kes liwat GISBH, syarikat lain guna nama 'Ikhwan' tampil bersihkan nama


  • Tular
  • Sabtu, 14 Sep 2024

Seramai 13 kanak-kanak pernah menjadi mangsa liwat semasa tinggal di rumah amal GISBH.

POLIS Diraja Malaysia (PDRM) pada Jumaat mengesahkan seramai 13 kanak-kanak yang tinggal di rumah amal yang ada kaitan dengan Global Ikhwan Service and Business Holding (GISBH) pernah diliwat.

Ia susulan serbuan 'Ops Global' di 20 buah rumah kanak-kanak di seluruh Selangor dan Negeri Sembilan pada Rabu lalu yang berjaya menemukan seramai 402 kanak-kanak disyaki menjadi mangsa penganiayaan di premis milik GISBH.

Ekoran tangkapan dibuat, sebahagian besar masyarakat kini sedang menjalankan boikot besar-besaran terhadap rangkaian premis milik GISBH yang dikatakan bersubahat dalam kes tersebut.

BACA LAGI: Soal siasat mangsa diselamatkan dari rumah amal GISB dijangka ambil masa 2 minggu — Ketua Polis Negara

BACA LAGI: [VIDEO] GISB nafi dera, eksploitasi kanak-kanak di Selangor dan Negeri Sembilan

Namun, beberapa syarikat tempatan mendakwa turut terkesan dengan hal itu apabila perniagaan lain dengan nama Ikhwan, dianggap sebahagian daripada GISBH.

Sebuah syarikat penghawa dingin, Ikhwan Aircond & Electric menerusi kenyataan di Facebook pada Sabtu, tampil menjelaskan mereka tiada kaitan dengan pihak berkenaan.

Sebuah lagi syarikat yang turut menggunakan nama Ikhwan, juga memuat naik hantaran bertujuan membersihkan nama perniagaannya yang dikaitkan dengan kes tersebut.

"Jangan risau jangan bimbang, kami di Ikhwan Western Food Pontian pun tiada terlibat atau berkaitan dengan isu yang sedang hangat ini," katanya.

"Mungkin nama (Ikhwan) sama, tapi bukan dia (GISBH), tiada kena-mengena atau kaitan langsung," komen Azlan Hdi.

Terdahulu, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan membawa isu berkaitan GISBH ke Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na'im Mokhtar berkata, ia bagi memutuskan perkara berkaitan akidah.

"Bagi membanteras hingga ke akar umbi fahaman dan ajaran menyeleweng, jabatan ini akan menubuhkan Jawatankuasa Khas bagi menjalankan siasatan dan kajian terperinci terhadap doktrin fahaman kumpulan GISBH," katanya menerusi kenyataan pada Jumaat.

Beliau menegaskan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan isu-isu berkaitan akidah umat Islam dan akan membantu menyediakan rumah perlindungan kepada kanak-kanak dan remaja yang diselamatkan dalam 'Op Global' tersebut. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram