KEJOHANAN Pestabola Merdeka sudah melabuhkan tirainya pada Ahad dengan menyaksikan skuad kebangsaan akhirnya berhasil menamatkan penantian 11 tahun untuk menamatkan badi menjulang trofi.
Kejayaan itu terhasil selepas jaringan tunggal dari Romel Morales pada minit ke-32 berhasil membantu skuad kebangsaan untuk menang 1-0 ke atas Lebanon dalam aksi final di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dekat Kuala Lumpur pada Ahad.
Malah, kemenangan tipis di gelanggang rasmi Harimau Malaya itu turut menyaksikan skuad kebangsaan menebus kekecewaan tahun lalu selepas tewas 0-2 kepada Tajikistan di pentas akhir Pestabola Merdeka 2023.
BACA LAGI: Pau Marti lulus ujian pertama tapi hala tuju FAM tak diketahui lagi — Zainal Abidin
BACA LAGI: Mahu lihat perubahan, ekor HM desak Pau Marti guna bintang JDT ganti Paulo Josue
Untuk rekod, kali terakhir skuad negara muncul juara Pestabola Merdeka adalah pada 2013 dan ketika itu skuad bawah 23 (B-23) tahun yang diberi kepercayaan berhasil menewaskan Myanmar 2-0 di final.
Kejohanan kali ini bukan hanya menyaksikan para pemain tanah air yang berpangkalan di luar negara berkumpul demi tugasan antarabangsa, malah ia juga menghimpunkan bekas bintang import kelab Liga Super.
Sedar atau tidak, Pestabola Merdeka 2024 kali ini seolah-olah menjadi platform reunion semula bekas import dari Lebanon, Tajikistan dan Filipina yang pernah beraksi di Liga Malaysia (Liga M).
1) Khalil Khamis
Khalil (kanan) ketika beraksi bersama Pahang sebelum ini. — Facebook/SriPahang
Penghijrahan pemain pertahanan Lebanon, Khalil Khamis ke Pahang sebelum ini boleh dianggap sebagai perpindahan saga apabila tonggak itu tiba sebagai pemenang Piala AFC 2019 bersama Al-Ahed.
Khalil yang sepatutnya menggantikan bek tengah Pahang ketika itu, Herald Goulon bagaimanapun tidak terlalu memberi impak bersama skuad Tok Gajah apabila sekadar tampil dalam empat perlawanan sahaja.
Pemain berusia 29 tahun itu hanya tampil dalam empat aksi bersama Sri Pahang sebelum namanya terpaksa digugurkan akibat isu Lebanon menyekat rakyatnya keluar dari negara berkenaan pada 2020 akibat tragedi letupan di Beirut.
Keadaan tersebut memaksa Khalil untuk kembali ke majikan lamanya, Al-Ahed pada 2020 dan bermain sehingga Julai 2024. Kini, Khalil menjadi bek tengah baharu untuk Safa Beirut SC.
Bek tengah Lebanon itu juga cemerlang bersama pasukan negaranya apabila menjadi pilihan utama dalam aksi menentang Tajikistan dan Malaysia bagi kejohanan Pestabola Merdeka baru-baru ini.
2) Rabih Ataya
Ataya watak penting dalam bahagian serangan Kedah pada 2021. — Facebook/KDAFC
Penyokong Kedah Darul Aman (KDA) FC pasti masih mengenali dan mengingati gerak-geri penyerang sayap kanan Lebanon, Rabih Ataya yang pernah mewarnai skuad Hijau Kuning pada musim 2021.
Ataya yang juga pemain kebangsaan Lubnan dan bekas tonggak import UiTM FC itu sebelum ini diikat oleh pasukan Hijau Kuning pada November 2019 bagi membantu memperkuatkan jentera serangan Kedah bagi musim 2020.
Walaupun hanya beraksi selama semusim bersama skuad Hijau Kuning, pemain yang sudah berusia 35 tahun itu nyata memberi kesan positif buat bahagian serangan apabila mencetak dua gol dan empat hantaran bantuan dalam 18 aksi bersama Kedah.
Meskipun sudah agak berusia namun kepakaran arkitek Lebanon dalam menggerakkan serangan pasukan itu masih ditagih dan diturunkan sebagai pemain gantian di separuh masa kedua.
3) Christian Rontini
Rontini hanya beraksi dalam lima aksi Liga Super sahaja bersama TRW. — Facebook/TRW
Bek tengah kebangsaan Filipina, Christian Rontini merupakan salah seorang yang memilih untuk meninggalkan skuad The Red Warriors (TRW) yang bergolak akibat masalah kewangan.
Selain berpengalaman dalam arena bola sepak tanah air bersama Kelantan untuk tempoh yang singkat, pemain kelahiran Itali itu juga pernah menyarung jersi Penang FC pada musim 2022.
Namun, tidak lama selepas penghijrahannya dari Kelantan FC, Rontini diumumkan sebagai pemain baharu untuk kelab Liga 1 Indonesia Persita Tangerang pada Mei 2023 dan kini bergelar pemain Madura United.
Rontini yang disifatkan sebagai aset jangka masa panjang buat kelab dan skuad kebangsaan Filipina dengan usianya baru sahaja mencecah 25 tahun itu bukanlah pilihan utama buat masa ini namun masih mendapat peluang sebagai pemain gantian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram