[VIDEO] Sebelum Faisal Halim, gol cantik Safawi juga pernah diiktiraf AFC


  • Podium
  • Rabu, 11 Sep 2024

Safawi (kiri) dan Faisal merupakan dua pemain yang mencetak gol sehingga menerima perhatian di peringkat AFC.

SAHAM pemain kebangsaan, Safawi Rasid kembali mencanak musim ini setelah dia memilih untuk menyertai Terengganu FC secara pinjaman dari Johor Darul Ta'zim (JDT).

Minit permainan yang kerap menyaksikan pemain sayap itu dapat beraksi dengan penuh keyakinan, baik dari segi penyudahan peluang mahupun mencipta gerakan pasukan.

Sumbangan tersebut membolehkan skuad Sang Penyu menduduki tangga ketiga Liga Super ketika ini selain mara ke pusingan separuh akhir Piala FA sebelum dikecewakan Selangor FC.

BACA LAGI: Atasi ketumpulan serangan, Harimau Kumbang buru pemenang Piala AFC

BACA LAGI: 'Siasatan AFC ibarat tamparan buat MFL dan FAM, jangan ingat mereka boleh pilih kasih'

Peningkatan dari segi prestasi itu pasti mengukir senyuman kepada penyokong bola sepak tempatan yang pernah meletakkan Safawi sebagai bintang negara.

Sanjungan itu juga pernah diakui Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) yang memberikan Anugerah Gol Terbaik Sepanjang Dekad buat pemain sayap kelahiran Terengganu berkenaan.

Anugerah tersebut diberikan pada 13 September empat tahun lalu hasil undian peminat sekitar Asia yang pasti kagum dengan gol dihasilkan Safawi dalam kempen Liga Juara-Juara AFC (ACL) 2019.

Ketika itu, dia diturunkan dalam skuad Harimau Selatan dalam aksi menentang kelab China, Shandong Luneng di Stadium Olimpik Jinan, China dengan JDT ketinggalan dua gol memasuki minit ke-60 permainan.

Safawi-Rasid-Shandong

Safawi (kiri) merupakan tonggak utama skuad Harimau Selatan satu ketika dahulu. Facebook/JOHOR Southern Tigers

Safawi yang merupakan tonggak serangan pasukan kemudian memberikan inspirasi buat mereka dengan melepaskan rembatan melencong dari luar kotak penalti.

Meskipun diberikan tekanan oleh pemain lawan, Safawi yang cukup mahir dengan kaki kirinya tidak berfikir panjang untuk melakukan percubaan yang deras selain cukup mengelirukan.

Gol itu bagaimanapun tidak cukup untuk menghadiahkan mata buat JDT yang terpaksa akur dengan kekalahan kedua daripada tiga perlawanan di peringkat kumpulan.

Namun, ia membawa makna berbeza buat Safawi yang meraih anugerah itu, mengatasi sembilan calon lain disenaraikan dengan kesemua daripada mereka turut mencetak jaringan cukup menarik.

Tetapi, tidak lama selepas itu, seorang lagi pemain tempatan meraih pencapaian sedemikian, iaitu Faisal Halim yang membawa pulang Anugerah Gol Terbaik Piala Asia 2023.

Jaringan dicetakkan ketika skuad kebangsaan seri dengan Korea Selatan dalam perlawanan akhir peringkat kumpulan menyaksikannya meraih pengiktirafan bermakna itu.

Kejayaan itu turut direkodkan dengan cara sama seperti Safawi apabila Faisal meraih undian majoriti daripada peminat bola sepak sekitar Asia yang kagum dengan ketenangannya di hadapan pintu gol.

Walaupun ada yang beranggapan jaringan tersebut tidak menceritakan keadaan sebenar bola sepak negara, ia sedikit sebanyak dapat menaikkan lagi nama Harimau Malaya ke tahap lebih tinggi. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram