TONGGAK tengah kebangsaan, Nooa Laine dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan selepas Malaysia menang 1-0 ke atas Lubnan dalam aksi final Pestabola Merdeka di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) dekat Kuala Lumpur pada Ahad.
Pemain Selangor berusia 21 tahun itu diturunkan sebagai kesebelasan utama bersama-sama dengan Syamer Kutty Abba dengan kedua-duanya berhasil mematahkan pergerakan jentera tengah skuad The Crowns tersebut.
Nooa yang cukup bersemangat dalam aksi itu mencuri perhatian apabila memberi tekanan secara kerap terhadap lawan, hantaran tepat serta menggagalkan beberapa pergerakan Lubnan selepas Romel Morales meletakkan Harimau Malaya di hadapan pada minit ke-33.
BACA LAGI: 'Messi Filipina', Jefferson Tabinas antara 3 pemain wajar disambar kelab Liga Super
Penyokong Harimau Malaya di media sosial rata-ratanya memberi pujian menggunung untuk pemain Gergasi Merah yang dipinjamkan dari kelab Finland, SJK Seinajoki tersebut.
Bagaimanapun, pemain muda berkenaan memilih untuk kekal merendah diri dan sebaliknya memberi kredit sepenuhnya kepada seluruh rakan sepasukannya yang bersama-sama membantu skuad kebangsaan menamatkan badi 11 tahun mendapatkan trofi.
“Memang bagus untuk menjadi pemain terbaik perlawanan tetapi bagi saya, kejayaan ini adalah usaha berpasukan yang baik. Semua orang bermain dengan sangat baik untuk meraih kemenangan,” katanya.
Walaupun beraksi sebagai pemain tetap untuk skuad kendalian Nidzam Jamil tetapi Nooa masih menerima kritikan kerana aksinya yang tidak konsisten dalam saingan Liga Super dan pertandingan kelab.
Nooa dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan. — Facebook/FAM
Tidak terbeban dengan kritikan tersebut, Nooa sebaliknya bangkit bermain dengan lebih baik untuk Malaysia dan akhirnya persembahannya membantu menggembirakan jurulatin serta rakan sepasukan.
“Bagi Malaysia, di bawah jurulatih Pau (Marti Vicente), kami cuba bermain lebih posesif dan mengambil masa untuk membina. Kami tiada masalah kerana kami juga bermain seperti ini dengan kelab kami," tambahnya.
Sementara itu, rakan tugasannya di bahagian tengah iaitu Syamer Kutty turut tidak menafikan Nooa memberi impak positif dengan pemain warisan itu banyak memudahkan kerjanya.
Syamer Kutty menyerlah dalam kejohanan itu apabila dia menjaringkan gol dan turut dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan dalam kemenangan 2-1 ke atas Filipina yang membawa Malaysia ke final.
Syamer Kutty (kanan) ketika aksi menentang Lebanon pada Ahad. — Facebook/FAM
Memenangi kejohanan Pestabola Merdeka amat bermakna buat pemain berusia 26 tahun berkenaan kerana pernah tewas dua perlawanan akhir sebagai pemain kebangsaan pada masa lalu.
“Saya tewas pada perlawanan akhir Sukan SEA 2017 dan juga final Piala Suzuki AFF pada 2018. Jadi, menjulang Piala Merdeka adalah seperti tonik yang sempurna bagi saya,” kata Syamer, yang dipinjamkan ke Pulau Pinang daripada JDT.
“Terdapat banyak perkara positif dan negatif yang perlu kita usahakan. Kami akan menentang lawan yang lebih sukar selepas ini, jadi momentum ini perlu diteruskan," tambahnya. — The Star
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram