Jodoh tak panjang, keluar rupanya jalan penyelesaian buat 2 bintang Asia JDT


  • Podium
  • Selasa, 10 Sep 2024

Ketika bersama JDT, Kuni hanya mencatat enam penampilan bersama JDT dalam saingan Liga Malaysia. — Instrgram/kunimoto_official

TIBA dengan reputasi tersendiri tidak menjanjikan apa-apa jika seseorang pemain itu gagal untuk menyesuaikan diri bersama pasukan baharu sehingga akhirnya namanya hanya disenaraikan sebagai pemain gantian sahaja.

Situasi berkenaan berlaku kepada dua bekas pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) iaitu Jalil Elias dan Takahiro Kunimoto yang sekadar muncul dalam beberapa perlawanan sahaja sebelum kedua-duanya memilih untuk mengucapkan selamat tinggal.

Menyentuh kisah Jalil yang tiba dengan tag pemain termahal dalam skuad Harimau Selatan pada musim 2024/25, gaya permainan tonggak antarabangsa Syria itu bagaimanapun kurang berjaya memikat Hector Bidoglio.

BACA LAGI: Nilai tebus kontrak cecah RM4.4 juta, Selangor perlu fikir semula dapatkan Yazan Al-Naimat

BACA LAGI: Dari Selangor ke Korea, Yazan sah sertai FC Seoul

Hasilnya, Jalil hanya tampil dalam satu perlawanan Liga Super sahaja iaitu ketika skuad Harimau Selatan mengalahkan Negeri Sembilan FC (NSFC) 3-1 di laman sendiri pada 18 Mei lalu.

Selepas namanya banyak diisi sebagai pemain gantian, Jalil akhirnya memilih untuk kembali ke Argentina dengan menyertai pasukan Club Atletico Velez Sarsfield sebagai pinjaman selama enam bulan sehingga 31 Disember 2024.

Penghijrahan ke kelab Argentina itu nyata menjadi keputusan berbaloi buat Jalil apabila dia kini merupakan salah seorang tonggak utama Atletico Velez apabila diberi kepercayaan tampil dalam empat perlawanan.

Skrip berjaya usai keluar Harimau Selatan juga berlaku kepada Kunimoto kini turut cemerlang bersama kelab divisyen dua China iaitu LN Tieren apabila dia menjadi kepercayaan untuk mengemudi jentera tengah.

Sejak menyertai pasukan berkenaan pada awal tahun ini, pemain berusia 26 tahun itu sudah mencetak tiga gol dan empat hantaran bantuan dalam 18 perlawanan Kunimoto diturunkan.

Pemain tengah menyerang yang berketinggian 1.72 meter itu dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua musim lalu namun gagal mencipta impak seperti yang diharapkan.

Bagaimanapun, sepanjang beraksi bersama JDT, Kunimoto atau mesra dengan panggilan Kuni itu meninggalkan kenangan manis apabila menjadi pemain yang menjaringkan gol ke-100 buat Harimau Selatan ketika berdepan Kelantan FC dalam aksi Piala Malaysia 2023.

Difahamkan, pemain kelahiran Jepun itu menyertai LN Tieren menerusi perpindahan percuma dari JDT. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram