BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak dapat menyembunyikan rasa bangga dan berpuas hati selepas melihat pembentukan Putrajaya hasil cetusan ideanya menjadi antara bandar terindah di Malaysia.
Beliau turut mengagumi dan memuji segala usaha pembangunan yang dilakukan di bandar tersebut sejak Putrajaya diisytiharkan dengan rasmi sebagai Wilayah Persekutuan ketiga pada 2001.
Di samping menzahirkan ucapan penghargaan buat pihak pentadbiran bandar itu, Dr Mahathir berkata, tiada bandar atau kawasan lain di Malaysia dapat menandingi Putrajaya.
Dr Mahathir kagum dengan pembangunan yang dilakukan di Putrajaya. — The Star
Katanya, pertumbuhannya yang sangat luar biasa sehingga boleh dibanggakan oleh rakyat Malaysia adalah daripada aspek keindahan bandar seperti seolah-olah sebuah taman.
"Jalan-jalan dipenuhi dengan bunga dan pagar yang dihias cantik. Pokok-pokok rendang memenuhi jalan raya. Taman rekreasi dijaga dengan baik dan berlandskap.
"Pentadbir jelas mempunyai cita rasa yang baik dan menghargai keindahan. Bangunan yang berada di antara jalan (boulevard) tengah itu pula amat mengagumkan.
"Malah medan selera juga dibangunkan dan diselenggara dengan baik," tulisnya di akaun X pada Isnin.
Dr Mahathir pada masa sama berterima kasih kepada seluruh pegawai yang mentadbir dan mengekalkan keindahan bandar tersebut sehingga hari ini.
Hantaran itu sekali gus menerima pelbagai reaksi oleh rata-rata warga maya yang turut bersetuju dengan kata-kata Dr Mahathir.
"Tak boleh disangkal lagi, ia betul-betul sebuah taman bandar," respons @MyrahAly.
Bagaimanapun ada juga yang menyarankan agar beliau tidak terlalu cepat untuk membuat penilaian tersebut sebelum melihat situasi sebenar terutamanya pada waktu malam.
"Jangan cepat sangat Tun, cuba memandu sekitar Putrajaya pada waktu malam atau cuba berjalan kaki di kaki lima sekitar Putrajaya.
"Gambaran sebenar pengurusan yang lemah akan dapat dilihat, lampu jalan mati terutama di persimpangan, turapan pecah di kaki lima, jangan hanya fokus pada gambaran besar," komen @IsmailTaib. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram