Bagaimana Malaysia boleh tukar sampah bernilai RM291 juta jadi duit?


  • Bizz
  • Selasa, 03 Sep 2024

Daripada 137 tapak pelupusan yang berada di dalam negara, hanya 21 daripadanya adalah tapak pelupusan sanitari, yang memiliki kemudahan canggih dalam menyimpan, memproses dan merawat sisa dengan selamat serta berkesan. — Gambar hiasan

MALAYSIA kerugian ratusan juta ringgit setiap tahun hanya kerana gagal untuk melaksanakan amalan kitar semula dengan baik.

Menurut satu laporan, negara dianggarkan kehilangan RM291 juta pada 2023 akibat pengabaian terhadap bahan kitar semula bernilai tinggi.

Kadar kitar semula di Malaysia pada ketika ini hanya 33.17 peratus, masih jauh dari sasaran 40 peratus yang ditetapkan menjelang 2025.

BACA LAGI: Mula berjualan sejak universiti, duo graduan UKM, UM berganding bina Pelita Dhihin tumpu pasarkan 'buku berat'

BACA LAGI: Lepas tembusi pasaran hampir 30 negara, John ada misi jadikan Hausboom syarikat minuman terbesar negara

Pengerusi teknikal jawatankuasa eksekutif Persatuan Pengurusan Sisa Malaysia (WMAM), Zamri Abdul Rahman berkata, salah satu masalah terbesar dihadapi Malaysia dalam pengurusan sisa adalah kekurangan pengasingan di peringkat sumber – terutama untuk sisa perbandaran.

“Ini telah mengakibatkan kadar kitar semula yang rendah bagi sisa isi rumah. Akibatnya, jumlah sisa semakin meningkat pada kadar lebih cepat.

“Di samping itu, tapak pembuangan (tapak tanpa sistem rawatan atau perlindungan alam sekitar yang betul) masih digunakan sebagai pelupusan akhir - menyebabkan pencemaran alam sekitar seperti pencemaran larut resap ke dalam air permukaan dan air bawah tanah, masalah bau, kebakaran, dan pelepasan gas rumah hijau (GHG).

“Selain itu, kemudahan untuk kitar semula dan pengasingan sisa adalah terhad, terutamanya untuk orang awam yang ingin mengitar semula sisa mereka,” kata Zamri.

Managed by Worldwide Landfills Sdn Bhd, the 67ha Jeram landfill started operations in 2007 and the  company’s Environment Division head Zamri Abdul Rahman said the idea was to prolong Jeram’s lifespan for 30 years.

Pengerusi teknikal jawatankuasa eksekutif WMAM, Zamri Abdul Rahman.

Beliau berkata, jumlah sebenar sisa dihasilkan Malaysia tidak jelas kerana data sentiasa meningkat.

Dengan situasi itu, adalah agak logik untuk menggap bahawa jumlah keseluruhan sampah yang dihasilkan di dalam negara adalah besar.

The Star melaporkan pada Januari bahawa secara harian, rakyat Malaysia membuang kira-kira 39,000 tan sisa pepejal, bersamaan dengan kira-kira 1.17kg setiap orang.

Angka ini didedahkan Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Secara purata, makanan merupakan komponen terbesar dalam sisa domestik iaitu sebanyak 30.6 peratus, diikuti plastik (21.9 peratus), kertas (15.3 peratus), lampin pakai buang (8.2 peratus) dan sisa isi rumah berbahaya (4.2 peratus).

Sisa lain termasuk sisa campuran (3.6 peratus), sisa halaman/taman (2.9 peratus), kaca (2.7 peratus), logam (2.4 peratus), tekstil (2.3 peratus), karton minuman (1.7 peratus), getah (1.1 peratus), kayu (1 peratus) dan pelitup muka (0.7 peratus).

Situasi makin memburuk

Pertumbuhan populasi adalah salah satu faktor terbesar dalam peningkatan penghasilan sisa pepejal, selain daripada kurangnya keprihatinan rakyat Malaysia terhadap alam sekitar dan kesedaran rendah mengenai kitar semula sebagai amalan bernilai tinggi.

Disebabkan kekurangan kitar semula, selalunya sampah akan berakhir di tapak pelupusan yang semakin penuh.

Dilaporkan 137 tapak pelupusan di negara ini akan kehabisan ruang untuk pelupusan sisa pepejal menjelang 2050.

Data dari SWCorp mendedahkan jumlah sisa dihantar ke tapak pelupusan di bawah tujuh negeri yang mengamalkan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007, juga dikenali sebagai Akta 672, adalah sebanyak 2.67 juta tan dari Januari hingga Oktober 2023.

Angka yang sama untuk 2022 dan 2021 masing-masing ialah 3.1 juta tan dan tiga juta tan.

The landfill in Moakil, Labis, in Segamat.

Dilaporkan 137 tapak pelupusan di negara ini akan kehabisan ruang untuk pelupusan sisa pepejal menjelang 2050. — Gambar hiasan

Pakar alam sekitar dan pengurusan sisa, Dr Theng Lee Chong berkata, daripada 137 tapak pelupusan, hanya 21 daripadanya adalah tapak pelupusan sanitari, yang memiliki kemudahan canggih dalam menyimpan, memproses dan merawat sisa dengan selamat serta berkesan.

Ini bermakna lebih 85 peratus tapak pelupusan di Malaysia hanyalah tapak pembuangan terbuka yang mengumpul sisa terdedah.

“Di sini, penguraian sisa berlaku. Gas metana yang sangat mudah terbakar dan karbon dioksida - yang merupakan GHG - dihasilkan dan dilepaskan ke atmosfera. Selepas penguraian, larut resap (air buangan) akan meresap ke dalam tanah.

“Jika terdapat air bawah tanah, sungai permukaan atau tasik berdekatan, segala jenis pencemaran akan berlaku,” jelas Theng dalam menerusi satu audisiar di radio.

Beliau menambah tapak pembuangan terbuka ini akan lebih berguna jika ia dijadikan tapak pelupusan sanitari.

“Tapak pelupusan sanitari melibatkan banyak reka bentuk kejuruteraan dari segi operasi, penyelenggaraan dan sebagainya.

“Tapak pelupusan yang betul mempunyai lapisan pelapik di bahagian bawah tapak dengan semua larut resap (air buangan) disalurkan ke kemudahan rawatan air buangan. Ini akan memastikan bahawa ia tidak meresap ke dalam air bawah tanah.

“Selain itu, terdapat reka bentuk untuk pembebasan gas yang ditangkap dari badan sisa dan saliran di sekitar tapak pelupusan,” kata Theng.

Menjana keuntungan daripada tapak pelupusan

Fasiliti Inovasi Kitar Semula (FIKS), recycling and upcycling centre by Alam Flora in Presint 5, Putrajaya. — IZZRAFIQ ALIAS/The Star

Alternatif kepada tapak pelupusan sedia ada akan membawa kepada perbincangan mengenai kewujudan loji sisa ke tenaga atau lebih dikenali sebagai loji WTE.

Zamri tampil memuji langkah kerajaan melancarkan Pelan Induk Ekonomi Pekeliling pertama untuk Sisa Pepejal di Malaysia (2025-2035) yang turut melibatkan cadangan rancangan pembinaan 18 tapak berpotensi untuk diubah menjadi loji WTE.

Pelan induk itu yang diumumkan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming pada awal Ogos turut menyentuh beberapa rancangan dan inisiatif jangka panjang sedang dilaksanakan yang akan menggalakkan penerapan ekonomi kitaran oleh orang awam dan industri tempatan.

Pelan induk itu akan memberi tumpuan kepada lima tonggak strategik yang termasuk tadbir urus dan perundangan; garis panduan dan prosedur; pendigitalan dan teknologi; serta infrastruktur dan kemudahan.

Ia juga memberi tumpuan kepada penciptaan pasaran, untuk mempromosikan pertumbuhan nasional industri kitar semula dan industri berasaskan sisa pepejal.

Untuk menangani kebimbangan tentang bahan pencemaran berbahaya dihasilkan loji WTE — terutamanya yang menjana tenaga melalui pembakaran — Zamri menjejaslan bahawa peraturan Udara Bersih Malaysia adalah setaraf dengan piawaian pelepasan Eropah.

“Pencemaran utama dari loji WTE adalah gas ekzos daripada pembakaran sisa. Gas ekzos dirawat sebelum dilepaskan melalui cerobong loji.

"Antara sistem rawatannya adalah pemberian dos kapur, penyemburan karbon teraktif, penapis beg untuk menangkap zarah halus. Pelepasan akhir melalui cerobong perlu mematuhi piawaian pelepasan Eropah,” ujarnya.

Zamri menambah bahawa sisa berbahaya berada di bawah bidang kuasa Jabatan Alam Sekitar (DoE) yang telah melaksanakan langkah-langkah dan kemudahan berlesen di mana sisa berbahaya dikitar semula atau dipulihkan serta untuk pelupusan akhir.

Staff of Alam Flora, Mohd Hisham,29, lifting rubbish from damaged by floods in temporary site collection rubbish to send at landfills in Temerloh. FAIHAN GHANI/The Star.

Rakyat Malaysia dilaporkan membuang kira-kira 39,000 tan sisa pepejal, bersamaan dengan kira-kira 1.17kg setiap orang. — Gambar hiasan

Dalam pada itu, Theng berpandangan bahawa perlu ada perubahan minda dari peringkat akar umbi untuk sebarang jenis langkah dan usaha yang dilakukan untuk memastikan ia berjaya.

Beliau berkata, orang ramai perlu mengubah sikap untuk menjadi lebih bertanggungjawab dalam pengurusan sisa.

“Pendidikan adalah satu perkara yang perlu kita lakukan dan terus lakukan. Pengasingan sisa sepatutnya menjadi langkah asas dan penting untuk memudahkan keseluruhan proses pengurusan sisa.

“Dengan pengasingan yang betul, barangan bernilai boleh dikitar semula, dibuat kompos, digunakan semula dan banyak lagi,” katanya sambal menekankan adalah mustahil mempunyai model ekonomi kitaran sepenuhnya tanpa pembuangan sebarang sisa.

Kesimpulannya, langkah dan usaha besar sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini dilihat sememangnya berpotensi menjadi penyelesaian lestari bagi menangani masalah semakin meningkat.

Bagaimanapun, rancangan besar ini hanya akan berjaya jika orang ramai turut memikul tanggungjawab dalam mengurangkan jumlah sisa yang berakhir di tapak pelupusan melalui amalan mudah seperti mengurangkan, menggunakan semula dan mengitar semula sisa. — The Star/LEE CHONGHUI

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram