[VIDEO] Tak guna tiket OKU sebagai alasan, aktif pengucapan awam dan pengacaraan cara Mohd Sobrie lawan persepsi negatif


  • Massa
  • Selasa, 03 Sep 2024

Mohd Sobrie aktif melibatkan diri dalam bidang pengacaraan dan pengucapan awam meskipun dikategorikan sebagai OKU. — Mohd Sobrie

DILAHIRKAN dengan keupayaan dan kemampuan berbeza antara nikmat Tuhan yang tidak boleh disia-siakan.

Itulah kata-kata semangat dilontarkan seorang insan istimewa bernama Mohd Sobrie Md Noor.

Meskipun dilihat serba kekurangan daripada aspek fizikal namun, ia sama sekali tidak menghalangnya daripada terus mencapai kemajuan diri.

BACA LAGI: [VIDEO] Bela ikan laga 'tak kosong', lepaskan di tempat pembiakan jentik-jentik cara cegah wabak denggi

BACA LAGI: Cameron Highlands perlu berubah, contohi insiatif di Sungai Melaka kekalkan daya tarikan

6246839639667228365

Mohd Sobrie mempunyai kelainan fizikal yang memerlukannya menggunakan kerusi roda untuk bergerak.

Berkhidmat sebagai Pembantu Akauntan di Kementerian Pertahanan Malaysia (Mindef), Mohd Sobrie berjaya membuktikan bahawa dirinya mampu setanding dengan individu lain.

Dia yang berumur 39 itu berkata, perbezaan itu secara tidak langsung menjadi pemangkin semangat buat dirinya untuk lebih berjaya dalam hidup.

Dia juga menzahirkan rasa syukurnya terhadap kenalan yang pernah bersama dan membantunya dalam segala urusan harian.

“Disebabkan saya memang dilahirkan sebegini dan bukannya seperti orang yang OKU (Orang Kelainan Upaya) kerana kemalangan atau sebagainya, saya okay sahaja.

“Saya pun jalani kehidupan normal, belajar pun di sekolah biasa hingga di universiti dengan kawan-kawan yang sangat baik dan suka membantu.

“Ketika saya Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima pun guru-guru amat memahami keadaan saya dan mereka tempatkan kelas di bawah untuk memudahkan pergerakan saya," katanya kepada Majoriti.

6246839639667228364

Mohd Sobrie (kanan) tidak mudah terpengaruh dengan persepsi-persepsi negatif. — Mohd Sobrie

Menurutnya, tidak dinafikan terdapat segelintir masyarakat yang masih mempunyai sikap tidak sensitif dan suka merendahkan kebolehan individu sepertinya.

Mohd Sobrie bagaimanapun menjelaskan bahawa tindakan itu sedikit pun tidak menjatuhkan semangatnya untuk terus berjuang dan membukitkan kehebatan dirinya.

"Ada sahaja yang kadang-kadang mengusik saya atau bergurau agak kasar walaupun dalam kalangan rakan-rakan.

"Tetapi, saya dah tidak kisah dengan kata-kata orang sebab apa yang mereka cakap itu lagi buatkan saya nak melawan dengan cara tersendiri," katanya.

Justeru, Mohd Sobrie tidak menggunakan kelainan fizikal sebagai alasan untuk sentiasa memperbaiki diri.

Ini kerana, selain bekerja di Mindef, dia juga aktif menonjolkan kelebihan dirinya dengan menyertai pelbagai aktiviti pengacaraan dan pengucapan awam.

Ia sekali gus membantu Mohd Sobrie mengubah persepsi dan stigma orang ramai tentang kemampuan individu OKU.

Katanya, melibatkan diri dalam pengucapan awam itu merupakan antara caranya untuk melawan dan menepis segala tanggapan negatif yang dilontarkan.

"Dengan cara ini juga boleh menunjukkan bahawa OKU juga boleh berani tampil di beri inspirasi di khalayak ramai.

"Saya pun kadang-kadang ada dijemput sebagai pengacara majlis dan sertai Kelab Toastmasters Dwibahasa Pidato Mutiara untuk tunjukkan kepada orang luar, kenapa saya boleh tapi orang lain tak boleh," jelasnya.

Mohd Sobrie pada masa sama mengambil kesempatan itu bagi memberi semangat dan aura positif kepada seluruh masyarakat terutamanya golongan OKU.

Ujarnya, golongan itu perlu mempunyai kekuatan untuk menempuhi perjalanan hidup dan menerima segala keadaan diri dengan hati terbuka.

"Kalau ada orang hina, jadikan ia sebagai satu cabaran untuk tunjukkan kepada mereka kita juga boleh berjaya," tegasnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram