Masjid India: Rakyat bimbang amaran bencana lebih besar sebelum ‘tenggelam’, pakar geologi kenal pasti 80 peratus kawasan KL tidak sesuai dimajukan


  • Massa
  • Sabtu, 24 Ogos 2024

Kejadian tanah jerlus atau lubang benam seperti berlaku berhampiran Masjid India (gambar kiri) pada Jumaat bukan kali pertama berlaku di Kuala Lumpur. Pada 2014, sebuah lokasi di Jalan Hang Tuah (gambar kanan) turut pernah mengalami kejadian lubang benam yang merosakkan jalan tersebut.

NEGARA pada Jumaat dikejutkan dengan kejadian tanah jerlus yang berlaku berhampiran Masjid, India, Kuala Lumpur.

Lebih mengerikan, dalam insiden tersebut, seorang wanita warganegara India, berusia 48 tahun disyaki terjatuh ke dalam lubang di kedalaman kira-kira 10 meter di lokasi berkenaan.

Difahamkan, ketika kejadian, mangsa sedang bersiar-siar di kawasan terbabit bersama keluarganya sebelum terjadinya tanah jerlus dan menyebabkannya terjatuh ke dalam lubang terbabit.

BACA LAGI: Bekas jurutera petroleum tolak tepi soal untung, buka gim demi bantu orang lain

BACA LAGI: Siap belajar bertanam 2 minggu, petani B40 di Putrajaya bakal tuai hasil cili cecah RM1.2 juta

Setakat Sabtu ketika laporan ini ditulis, usaha mencari dan menyelamat bagi mengesan wanita tersebut masih gagal untuk menemui wanita terbabit.

Pada masa sama, polis pada malam Jumaat berkata, mangsa berkemungkinan dihanyutkan aliran air deras bawah tanah di lokasinya terjatuh.

Dalam pada itu, insiden mengejutkan pada Jumaat itu turut mencetuskan kebimbangan dalam kalangan orang awam terhadap kemungkinan berlakunya bencana lebih besar di sekitar kawasan Lembah Klang.

Lebih merisaukan, kejadian tersebut juga berlaku di tengah-tengah ibu kota yang menjadi tempat tumpuan orang ramai.

Lubang yang terhasil akibat kejadian tanah jerlus berhampiran Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat.

"Teori bencana sinkhole (tanah jerlus) di Lembah Klang. Amaran kepada bencana yang lebih besar. SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia) bersedialah. Libatkanlah para ahli geologi dari sekarang," tulis Laili Basir.

Sementara itu, seorang pakar geologi yang menggunakan nama akaun Facebook, Omèn Necrofis berkata, kajian saintifik dilakukan mendapati hanya 20 peratus kawasan Kuala Lumpur sesuai dimajukan sementara baki 80 peratus lagi disifatkan mempunyai kekangan tinggi dengan 25 peratus daripadanya terdedah kepada bencana geologi tanah runtuh atau cerun granit dan bencana banjir.

Menurutnya, situasi itu disumbangkan kerana hampir 40 peratus geologi atau permukaan bumi di Kuala Lumpur didasari oleh batu kapur yang sememangnya dikenali sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS).

Ujarnya, antara bencana geologi yang boleh berlaku adalah seperti lubang benam akibat runtuhan bumbung gegua bawah tanah, runtuhan batuan di bukit Batu Cave, tanah runtuh di kawasan granit yang bercerun seperti di Bukit Antarabangsa dan Ampang.

"Lembah Klang itu sendiri adalah kawasan yang sangat terdedah kepada banjir dan lubang benam sebelum ada pendudukan manusia di situ; iaitu mempunyai 'element risk' yang sangat tinggi.

"Semasa kitaran bumi hangat, pembangunan sangat maju di kawasan tersebut tapi apabila berlaku perubahan iklim (cooling), banjir kembali mengambil alih dan manusia yang membina penempat di kawasan tersebut terpaksa menerima kesannya," ujarnya.

Mengulas mengenai kejadian lubang benam di Masjid India pada Jumaat, Omèn Necrofis berkata, terdapat beberapa faktor yang berkemungkinan menyumbang kepada insiden tersebut.

"Ia mungkin disebabkan runtuhan gegua bawah tanah atau berlakunya aliran air bawah bersama hakisan sedimen lembut (akibat tindakan hidrolik aliran sungai) lalu membentuk lubang sementelah terletak di tepi Sungai Klang.

"Ia juga boleh berpunca daripada paip yang pecah daripada mendapan tanah. Kajian lanjutan perlu dilakukan oleh Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG) bagi mengenal pasti punca sebenar," ujarnya.

Pada masa sama, hantaran tersebut turut berkata, bencana geologi yang berlaku itu juga boleh dicetuskan akibat cuaca hujan.

"Sejak 2020 iaitu bermulanya Kesuraman Matahari (Weak Solar Cycle), kelembapan sering melanda serata negara dengan tingginya curahan hujan sehingga berlaku banjir buruk dan akan berterusan pada masa hadapan "sehinggalah banjir menjadi sesuatu yang biasa di masa hadapan," ujarnya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram