PASUKAN penyelamat mangsa kejadian tanah jerlus di Jalan Masjid India mula memfokuskan pencarian pada kawasan saluran kumbahan di bawah tanah pada Sabtu.
Menurut laporan Astro Awani, kawasan pencarian yang bermula di lokasi kejadian turut diperluaskan sepanjang saluran kumbahan itu sejauh beberapa kilometer (km) yang akan berakhir di Loji Rawatan Kumbahan Indah Water Konsultiom (IWK) Pantai Dalam.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, sebelum ini berkata pasukan mencari dan menyelamat (SAR) melakukan pencarian 100 peratus di lokasi wanita itu terjatuh sehingga tengah malam, namun belum berhasil menemukan mangsa.
BACA LAGI: Mangsa tanah jerlus Masjid India dipercayai dihanyut arus deras — Polis KL
BACA LAGI: 'Tolong selamatkan ibu saya', rayu anak mangsa tanah jerlus Masjid India
Justeru, katanya, IWK akan membuka semua pintu injap di dalam saluran kumbahan sepanjang tujuh km bagi meneruskan operasi menjejaki mangsa.
"Pasukan SAR perlu masuk ke dalam ini melalui saluran kumbahan. Mereka akan masuk ke dalam saluran IWK satu persatu dan kalau kita tengok saluran ini kumbahan (berakhir) di Pantai Dalam,” katanya pada Jumaat malam.
Wanita berusia 48 tahun itu masih belum ditemui setakat ini.
Sementara itu, tinjauan mendapati, sebuah jentera bomba dilihat masuk ke Unit Operasi Kuala Lumpur, IWK Pantai Dalam pada pukul 11.06 pagi Sabtu,
Namun begitu, cubaan pengamal media untuk masuk ke lokasi tidak berjaya apabila pihak keselamatan memaklumkan menerima arahan daripada pengurusan tidak membenarkan pengamal media membuat liputan di dalam premis.
Dalam kejadian pagi Jumaat, mangsa, Jayaletchumy, 48, dilapor tiba-tiba terjerlus ke lubang sedalam lapan meter di kawasan Jalan Masjid India dan belum dijumpai sehingga kini.
Operasi SAR terpaksa ditangguhkan pada 12.30 tengah malam tadi kerana hujan lebat dan persekitaran gelap yang memberi kesukaran kepada usaha mencari mangsa.
Operasi SAR selama 17 jam pada Jumaat hanya menemukan sepasang selipar milik mangsa berhampiran lokasi kejadian. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram