ANAK kepada mangsa tanah jerlus di Masjid India, Kuala Lumpur pada Jumaat, mengharapkan ibunya kembali semula.
Sebaik saja tiba dari Thailand ke tempat kejadian, anak sulung lelaki itu dengan segera meminta bantuan agar ibunya dapat diselamatkan.
"Tolong selamatkan ibu saya, selamatkan dia!," kata anak mangsa dengan kuat di lokasi kejadian.
BACA LAGI: Mangsa tanah jerlus Masjid India dipercayai dihanyut arus deras — Polis KL
BACA LAGI: Keluarga wanita terjatuh dalam 'jerangkap samar' masih berharap mangsa dapat ditemui
Mangsa yang dikenali sebagai Vijayalaksmi, 48, dari negara India terjatuh ke tanah jerlus di Masjid India pada Jumaat. Dia bersama keluarganya bercuti di Malaysia selama dua bulan dan dijadualkan pulang ke negara asal pada Sabtu.
Ahli keluarganya yang berada di tempat kejadian masih setia menantikan perkembangan terkini mengenai status mangsa. Malah, ada di antara mereka yang hilang selera makan atas apa yang terjadi.
Mangsa dikatakan sudah dihanyutkan arus deras bawah tanah.
Hingga kini, usaha mencari dan menyelamat giat dijalankan oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Kuala Lumpur serta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, mangsa dipercayai hanyut dibawa oleh arus deras bawah tanah selepas terjatuh sedalam lapan meter.
Usaha untuk mencari mangsa bagaimana pun terpaksa dilakukan dengan rapi kerana bimbang ia boleh menganggu infrastruktur awam yang lain.
"Kita melakukan operasi mencari dan menyelamat ikut peringkat dan perbincangan dibuat dengan pihak Indah Water Konsortium (IWK) dan agensi berkenaan berhubung pelan (infrastruktur) sebab kita tidak boleh buat sesuka hati.
"Saya dimaklumkan jika kita buat penutupan (paip/parit), dikhuatiri mungkin akan berlaku banjir di lokasi.
"Sehubungan itu, setiap tindakan yang diambil perlulah berstrategi dan dirancang rapi demi keselamatan semua," kata Rusdi. — The Star/FAZLEENA AZIZ
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram