BARU-BARU ini, kancah bola sepak tanah air dikejutkan dengan keputusan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang meminjamkan tonggak tengah mereka, Endrick Dos Santos kepada kelab Vietnam, Ho Chi Minh City.
Kehilangan Endrick yang juga merupakan pemain naturalisasi itu pastinya mengejutkan penyokong bola sepak khususnya peminat Harimau Selatan.
Meskipun penghijrahannya ke kelab Vietnam adalah untuk meningkatkan prestasi semasanya namun terdapat juga suara-suara sumbang yang mengatakan bahawa keputusan tersebut adalah untuk memberi ruang kepada pemain yang baru sahaja dibawa masuk.
BACA LAGI: Fans Kedah, Penang dan Terengganu ada sebab berasa kecewa dengan keputusan Abu Kamara
BACA LAGI: [VIDEO] Rejaman tajam, Sumandak Sabah sumbang 3 emas di SUKMA
Sebelum ini, kelab yang berpangkalan di Selatan itu sudah pun mengumumkan beberapa wajah baharu antaranya penjaga gol baharu, Christian Abad Amat, import Korea Selatan, Murilo Henrique, Park Jun-heong dan Enzo Lombardo.
Dengan kemasukan beberapa pemain baharu tersebut, pastinya ia akan memberi kesan kepada beberapa pemain JDT yang kurang mendapat peluang untuk menyinar bersama skuad berkenaan.
Dalam pada itu, dengan lambakan pemain berkualiti dalam pasukan tersebut, sudah pasti JDT dijangka akan mengambil keputusan untuk 'melelongkan' beberapa pemain.
Oleh itu, Majoriti menyenaraikan tiga pemain yang bakal 'dilelong' oleh JDT dan beberapa kelab Liga Malaysia perlu mengambil peluang tersebut dengan jendela perpindahan kedua dibuka tidak lama lagi.
Pertahanan Johor Darul Ta'zim, Shane Lowry. — Facebook/JDT
1. Sri Pahang FC
Pertahanan JDT, Shane Lowry antara pemain yang kini dijangka bakal dipinjamkan ke kelab lain.
Sri Pahang FC antara kelab yang dilihat sesuai untuk mendapatkan khidmat pemain kelahiran Australia tersebut.
Sudah pasti kehadiran Lowry dijangka mampu membantu mengukuhkan benteng pertahanan skuad Tok Gajah yang kini dilihat mudah ditembusi oleh pihak lawan.
Melihat kepada rekod liga, skuad kendalian Fandi Ahmad itu sudah dibolosi 12 gol selepas lapan perlawanan.
Bersama JDT, Lowry hanya tampil sebanyak dua perlawanan Liga M bagi musim ini dan pemain berusia 35 tahun itu perlu menggunakan peluang itu sebaik mungkin.
Kelantan berpeluang untuk mendapatkan khidmat Nazmi Faiz. — Facebook/JDT
2. Kelantan Darul Naim FC
Nama pemain tengah Harimau Selatan, Nazmi Faiz Mansor antara yang dicanang bakal 'dilelong' ke kelab lain.
Antara kelab yang dilihat sesuai untuk melebarkan sayapnya adalah Kelantan Darul Naim FC kerana Nazmi ketika ini berhadapan dengan kesukaran untuk mendapatkan minit permainan.
Dengan Kelantan yang kini berada di tangga tercorot liga, sudah pasti kehadiran pemain berketinggian 1.68 meter itu mampu menggerakkan jentera serangan skuad Kijang Emas.
Meskipun Nazmi banyak diberi minit permainan musim ini namun dia belum berjaya mencetak gol peribadinya.
Dalam pada itu, Kelantan antara pasukan yang sesuai untuk pemain berusia 30 tahun itu mencuri jaringan dalam saingan Liga M.
Izham Tarmizi dilihat sesuai untuk melebarkan sayapnya bersama skuad Jang. — Facebook/JDT
3. Negeri Sembilan FC
Bekas penjaga gol skuad muda kebangsaan, Izham Tarmizi dilihat bergelut untuk mendapat tempat sebagai kesebelasan utama pasukan.
Meksipun sudah kembali ke pangkuan JDT selepas menghabiskan musim lalu dengan beraksi bersama Sri Pahang FC secara pinjaman namun Izham dilihat gagal menembusi skuad utama.
Malah, kehadiran penjaga gol import, Christian Abad Amat menambah luka Izham yang pastinya sukar untuk mendapat tempat.
Dalam pada itu, Negeri Sembilan FC antara pasukan yang dilihat sesuai untuk Izham melebarkan sayapnya dan membantu pasukan yang kini menjadi belasahan kelab liga yang mencatat 19 bolos. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram