SEORANG lelaki warga asing ditahan kerana dipercayai membunuh isteri dan anak perempuannya, yang mayat mereka ditemui dalam longkang di belakang bangunan terbiar berhampiran Pekan Simpang Kuala, Alor Setar, Kedah pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Siti Nor Salawati Saad berkata, mayat wanita berusia 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun itu ditemukan sekitar pukul 5 petang Isnin.
Menurut Siti Nor Salawati, mayat dua beranak itu ditemukan orang awam sebelum menghubungi pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar pada pukul 5.04 petang.
BACA LAGI: [VIDEO] 'Aura' pesilat SUKMA Perak lain macam, siap 'make up' nampak seram
Susulan kejadian itu, polis menahan seorang lelaki warga asing berusia 43 tahun yang dipercayai suami dan bapa mangsa pada pukul 9 malam di Masjid Bukit Pinang, Kepala Batas, Kedah, yang terletak kira-kira 20 kilometer dari lokasi mayat kedua beranak itu ditemukan.
"Sejurus selepas menerima laporan berhubung kejadian itu, pasukan penyiasat digerakkan ke lokasi untuk melakukan siasatan awal.
"Siasatan di lokasi kejadian mendapati kedua-dua mayat yang lengkap berpakaian tanpa sebarang dokumen pengenalan diri, ditemukan mati dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain di dalam longkang kecil.
"Mereka ditemukan dengan kesan kelar pada leher kedua-dua mayat," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Siti Nor Salawati berkata, mayat kedua beranak yang dipercayai warga asing itu kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) bagi tujuan bedah siasat.
Dalam perkembangan sama, Majistret Mahkamah Alor Setar, Siti Nor Hasliza Md Ali membenarkan permohonan perintah reman tujuh hari terhadap suspek bermula hari ini (Selasa) hingga 26 Ogos.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram