Kepada yang cakna dan faham sejarah, generasi baharu jangan keliru informasi sebenar penganjuran PSS — Selangor Royal Office


  • Podium
  • Selasa, 20 Ogos 2024

Pasukan Pilihan Selangor mengekalkan kejuaraan Piala Sultan Selangor 2024 selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 dalam perlawanan yang diadakan di Stadium Merdeka.

KEWUJUDAN Piala Sultan Selangor (PSS) adalah untuk mempererat persaudaraan dua pasukan seteru utama Liga Malaysia (Liga M) suatu ketika dahulu iaitu Selangor FA dan juga Singapura FA.

Ia merupakan cetusan idea Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj yang diperkenalkan 23 tahun lalu iaitu pada 2001.

Sehingga 1994 sebelum Singapura menarik diri dari Liga Malaysia, pasukan itu menjadi musuh ketat Selangor hinggakan kedua-dua kelab itu sering berebut kejuaraan seperti Piala Malaysia setiap musim.

BACA LAGI: Fans Kedah, Penang dan Terengganu ada sebab berasa kecewa dengan keputusan Abu Kamara

BACA LAGI: [VIDEO] Main rally panjang, atlet badminton Borneo bagai bersaudara, 'luang masa' di gelanggang SUKMA

Menerusi perkongsian yang dikeluarkan oleh Selangor Royal Office, mendedahkan bahawa PSS berkenaan adalah eksklusif untuk satu perlawanan utama antara Pilihan Selangor menentang Pilihan Singapura.

"Bagi yang mengikuti rapat kancah bola sepak negara, sejak Piala Malaysia diperkenalkan pada tahun 1921 (ketika itu dikenali sebagai Piala Malaya, kemudian Piala HMS Malaya), Selangor dan Singapura adalah antara pasukan terhebat dan kerap kali bertembung di perlawanan akhir bagi merebut piala berkenaan.

"Malah perlawanan akhir pertama Piala Malaya pada tahun 1921 menyaksikan Singapura berjaya menewaskan Selangor. Sejak itu, Selangor dan Singapura telah bertemu sebanyak 22 kali lagi di perlawanan akhir Piala Malaysia yang ternyata membangkitkan semangat perseteruan kesukanan dalam arena bola sepak.

"Dalam tempoh itu, Selangor telah menjulang 33 kejuaraan Piala Malaysia, kali terakhir pada tahun 2015. Manakala Singapura dengan 22 kejuaraan," tulisnya di Facebook pada Selasa.

Pertembungan antara Selangor dan Singapura sentiasa dinantikan sehingga digelar sebagai Malayan El Clàsico kerana kedua-dua pasukan musuh tradisi ini sentiasa menampilkan persaingan sihat dan saling hormat menghormati.

Sepanjang diadakan lebih dua dekad, Pasukan Pilihan Selangor bergelar juara Piala Sultan Selangor sebanyak sembilan kali iaitu pada 2001, 2003, 2005, 2008, 2012, 2013, 2014, 2018 dan 2019, manakala Pilihan Singapura pula menjuarai sebanyak tujuh kali iaitu pada 2006, 2007, 2009, 2010, 2011, 2016 dan 2017.

"Kepada yang cakna dan faham sejarah, mereka akan mengerti rasional di sebalik penganjuran dan turut sama meraikan PSS sebagai sebuah acara berprestij yang menyemarakkan semangat persahabatan dalam sukan.

"Diharapkan penjelasan tersebut dapat memberi fakta yang tepat dan manfaat pengetahuan yang lebih jelas kepada masyarakat, khususnya generasi baharu yang mungkin masih belum faham atau dimomokkan dengan informasi mengelirukan tentang sejarah sebenar kewujudan Piala Sultan Selangor," jelas Selangor Royal Office.

Pada Isnin, pemilik Johor Darul Ta'zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim seolah-olah menyindir pasukan Selangor FC selepas skuad Gergasi Merah itu memenangi Piala Sultan Selangor pada Sabtu.

Tunku Ismail yang juga Pemangku Sultan Johor berkata, kemenangan tersebut umpama syok sendiri selain menyifatkan piala tersebut tidak diiktiraf di negara ini.

"Di Malaysia trofi yang diiktiraf Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia, Piala Sumbangsih saingan AFC. Untuk layak ke kejohanan antarabangsa pula iaitu Liga Super dan Piala FA.

"Kalau buat piala syok sendiri dan raikan macam menang piala rasmi, saya akan buat Piala Daddy, dan Piala Cap Susu mulai tahun depan.

"Pasukan lawan kena cari yang lemah-lemah. Yang pelik tak ada perasaan malu. Kes kronik syok sendiri, " tulis baginda di laman Facebook miliknya.

Pada Sabtu lepas, Pilihan Selangor berjaya mempertahankan Piala Sultan Selangor selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 di Stadium Merdeka.

Ia menjadi piala ketiga yang berjaya dimenangi skuad kendali Nidzam Jamil itu selepas Piala Selangor Asia Challenge dan RCTI Premium Sports.

JDT dan Selangor bakal membuat perhitungan di final Piala FA di Stadium Nasional, Bukit Jalil, pada Sabtu (24 Ogos). — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram