SKUAD kebangsaan tidak akan menjalani perlawanan pemanas badan atau sparring match sebagai persiapan untuk Pestabola Merdeka edisi 2024.
Perkara itu disahkan sendiri oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Noor Azman Rahman semasa majlis undian pertandingan tersebut di Wisma FAM, Kelana Jaya, Selangor.
Malaysia akan bertemu Filipina pada 4 September selain Lubnan akan berdepan juara bertahan, Tajikistan pada hari yang sama.
BACA LAGI: Malaysia diundi berdepan Filipina misi buru kejuaraan Pestabola Merdeka
BACA LAGI: Pestabola Merdeka kembali lagi, tapi fans harap bukan semua aksi diadakan di SNBJ
Noor Azman mengatakan yang Harimau Malaya memang tidak akan mengadakan perlawanan pemanas badan kerana aksi Pestabola Merdeka itu sendiri sudah berada dalam kalendar FIFA atau FIFA Matchday.
Oleh itu, para pemain akan dipanggil terus oleh pengendali sementara iaitu Pau Marti untuk menjalani latihan sebelum berdepan Filipina pada 4 September.
"Tiada (sparring match) diadakan. Kita akan terus lakukan call-up pada hujung bulan Ogos dan akan terus hadapi Pestabola Merdeka," kata Noor Azman kepada Majoriti.
Noor Azman juga memberi jaminan yang FAM akan memanggil skuad terkuat dalam usaha mendapatkan kembali kejuaraan Pestabola Merdeka yang mereka hilang pada tahun lalu.
Marti dilaporkan sudah kembali ke Malaysia dan dijangka akan mengadakan sidang media mengenai persediaan Pestabola Merdeka dalam masa terdekat. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram