Bukan kerambit tapi gunting, pemain samseng mungkin disaman, digantung seumur hidup


  • Podium
  • Isnin, 05 Ogos 2024

Tangkap layar memaparkan salah seorang pemain liga sosial menggunakan peralatan tajam untuk mencederakan pihak lawan. — Facebook

PADA Ahad, penyokong bola sepak tanah air dikejutkan dengan berita kurang baik apabila salah seorang pemain pasukan Farouk FT didakwa menggunakan peralatan tajam dalam sebuah perlawanan liga sosial.

Difahamkan, pemain tersebut membawa kerambit ketika terbabit dalam suatu insiden pergaduhan itu.

Menerusi perkongsian Aliff Akhmal yang tular di Facebook, kejadian itu berlaku di padang KLFA, Desa Melawati, Kuala Lumpur pada pukul 12.30 tengah hari dan didapati pemain itu sanggup bertindak di luar kawalan dengan menggunakan senjata tajam apabila tercetus perkelahian antara mereka.

BACA LAGI: VAR 'bunuh' semangat Kedah, JDT tepati ramalan lawan Selangor

BACA LAGI: Olimpik 2024: Regu lelaki sumbang pingat pertama buat Malaysia

Melihat kepada gambar tular itu, pemain berkenaan seperti berniat untuk mengayun tangan kanan yang terdapat kerambit digenggamannya ke arah orang di depannya.

Sekiranya benar-benar terkena pihak lawan, maka ia pasti boleh membawa padah hingga boleh meragut nyawa seseorang.

Bagaimanapun, dalam perkembangan lain, senjata tajam tersebut dipercayai bukan kerambit namun sebilah gunting yang dipercayai untuk memotong stoking dan straping.

Dalam pada itu, meninjau ruangan komen, rata-rata peminat bola sepak tempatan berharap agar pemain berkenaan menerima tindakan yang sewajarnya.

"Budak macam ini patut kena saman saja oleh Liga Bola Sepak Amatur (AFL), jangan bagi main dah dekat liga'," kata Muhammad Fazli.

"Repot polis saja pemain yang macam ni, menyusahkan," kata Arrow Star.

"Walaupun bukan kerambit tapi still bahaya, gunting pun benda tajam oh," kata Mohd Fairoz.

Liga sosial

Berlaku perselisihan faham antara Farouk FT dan pasukan lawan. Facebook

Susulan kejadian itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Lazim Ismail berkata, pihaknya sedang mengesan seorang pemain bola sepak yang disyaki membawa senjata tajam dalam kes pergaduhan tersebut.

Menurutnya lagi, pihaknya menerima laporan daripada seorang lelaki warga tempatan berusia 23 tahun pada pukul 2.21 pagi, Isnin.

"Ketika kejadian pengadu menyatakan berlaku perselisihan faham antara pasukan pengadu dan pasukan lawan.

"Dia mendapati pemain dari pihak lawan telah membawa masuk senjata tajam ke dalam padang serta mengacukan kepada salah seorang pemain daripada pasukan pengadu," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Tambahnya, polis sedang berusaha mengesan suspek yang terlibat bagi membantu siasatan lanjut.

"Tiada kecederaan dilaporkan dalam insiden itu, pengecaman suspek sedang dibuat.

"Kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Bahan-bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram