TEMPOH idah yang ditetapkan bagi individu bercerai semakin dipandang ringan golongan muda kebelakangan ini apabila segelintir daripadanya sanggup secara terbuka mengakui ada melakukan perbuatan terlarang.
Golongan pempengaruh misalnya antara yang gemar memuat naik 'content' kekhilafan mereka dalam tempoh idah yang sekali gus dikhuatiri akan menjadi ikutan ramai warga maya seperti yang tular baru-baru ini.
Situasi itu mencetuskan pertikaian di laman sosial apabila ada pihak mempertikai fungsi dan peranan kursus kahwin yang diwajibkan untuk pasangan berkahwin di Malaysia.
"Bukti kursus kahwin di Malaysia tak berkesan, ramai artis dan pempengaruh termasuk orang awam tak ambil peduli hal idah.
"Sampai ada perempuan yang keluar rumah tanpa sebab konkrit dan ramai lelaki meminang secara berkias atas dasar gurauan, sedangkan tak boleh," ciap hasifwilson di laman X.
Hantaran itu meraih perhatian pengguna media sosial dengan rata-ratanya menyatakan sokongan penuh terhadap kenyataan dibuat berhubung keberkesanan kursus kahwin.
Beberapa pihak mendedahkan sikap segelintir individu yang hanya sekadar 'melepaskan batuk di tangga' ketika hadir ke kursus berkenaan ekoran tiada syarat ditetapkan untuk diberikan sijil tersebut.
"Semua pergi kursus kahwin memang tidur saja, siapa nak dengar ceramah panjang, membosankan macam itu," ujar rasyid15.
"Rasanya orang pergi untuk ambil syarat saja, tapi tak faham dan tak gunakan dalam kehidupan seharian, sudahnya semua tak tahu apa itu hukum idah, langgar kalau berpisah," kata Raihan.
Dalam pada itu, beberapa individu menyarankan agar kursus kahwin itu ditambah baik dengan beberapa perkara seperti sesi soal jawab dan ujian lisan sebelum sijil diberikan.
"Sepatutnya nak ambil kurus kahwin kena jawab ujian sampai lulus, itu cara yang paling berkesan, kalau gagal kena ulang sebab memang ramai yang tidur masa ceramah. Bagi mereka, semua itu tak penting mana asalkan dapat sijil," kata Zafran.
"Buat ujian macam nak ambil lesen memandu, biar semua calon yang nak kahwin dikenakan syarat sikit, baru betul masuk ilmu," tambah Daniarezlon.
Untuk rekod, idah dalam konteks perkahwinan Islam merujuk kepada tempoh menunggu yang ditetapkan bagi wanita bercerai atau menjadi balu sebelum mereka dibenarkan untuk berkahwin semula.
Ia bertujuan bagi memastikan keabsahan status kehamilan dan memberi peluang bagi penyelesaian hukum serta emosi seseorang itu. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram