MAHLIGAI cinta dibina bertahun-tahun mampu runtuh begitu sahaja jika terdapat permasalahan yang tidak dapat diselesaikan dengan sebaiknya.
Tidak dinafikan, segelintir orang bersikap tidak serius dalam sesuatu perhubungan sehingga penceraian tidak lagi memberi apa-apa kesan kepada dirinya.
Lebih menyakitkan, terdapat pasangan yang sanggup meninggalkan cinta hatinya sehingga bertahun-tahun lamanya tanpa sebarang khabar.
Perkara itu didedahkan memang pernah berlaku kepada seorang wanita yang kesnya ditangani oleh peguam syarie, Nursakinah Jaludin.
Dia berkata, terdapat seorang wanita yang membuat tuntutan fasakh ke atas suaminya selepas pasangannya itu hilang tanpa apa-apa berita lebih daripada setahun.
“Walaupun dah setahun lebih hilang, tak tunaikan nafkah, wanita ini masih terfikir untuk menarik balik tuntutan fasakh yang dibuat kerana berfikir masih mahu memberi peluang jika suaminya itu tiba-tiba kembali.
Suami tidak menunaikan nafkah batin dan zahir lebih setahun. — Gambar hiasan
“Tetapi, saya cakap teruskan sahaja sampai dapat perintah fasakh kerana sebelum ini wanita itu turut pernah mahu menarik balik tuntutannya fasakh yang dibuat,” katanya kepada Majoriti.
Lebih menyakitkan hati, Nursakinah berkata, wanita itu hanya mengetahui suaminya sudah bernikah selepas didedahkan oleh rakannya yang mengenai suaminya itu.
“Kawan wanita ini yang kenal rapat dengan suami dia pun dedahkan yang pasangan dia itu sudah bernikah lain dan dah punya anak pun dengan wanita Indonesia.
“Ada kawan wanita ini yang kenal rapat dengan suaminya dedahkan suami dia dah berkahwin lain dan dah punya anak dengan wanita lain di Indonesia," jelasnya.
Selepas beberapa kali wanita itu cuba menarik balik tuntutan fasakh yang dibuat, akhirnya rumahtangganya terlerai melalui tuntutan fasakh yang dibuat di Mahkamah Rendah Syariah Selangor.
Nursakinah berkata, pentingnya pasangan rumah tangga untuk menyimpan segala bukti atau dokumen berbentuk resit berkaitan soal nafkah bagi tujuan masa depan.
BACA LAGI: Akses bersifat peribadi di media sosial penyumbang utama suami isteri curang
Isteri tuntut fasakh selepas tidak menerima sebarang nafkah oleh suaminya yang hilang begitu sahaja. — Gambar hiasan
“Bukti atau keterangan berbentuk dokumen sangat penting untuk kukuhkan keterangan. Ketika wanita ini buat tuntutan fasakh, dia beri bukti dokumen atau resit sebagai bukti memang tiada sebarang nafkah zahir diterima selama lebih setahun,” katanya.
Dalam pada itu, tuntutan fasakh yang dikemukakan wanita tersebut turut disertai dua orang lelaki sebagai saksi.
“Saksi sangat penting untuk kukuhkan keterangan. Dalam kes ini memang dia jadikan kawan yang tahu suami dia dah kahwin lain sebagai saksi,” katanya.
Nursakinah turut berkata, pihak lelaki sangat penting untuk hadir ke mahkamah jika tuntutan fasakh dibuat bagi mempertahankan hubungan atau dirinya.
“Dalam kes tadi, lelaki memang sama sekali tak datang mahkamah waktu tuntutan fasakh dibuat.
“Akhir sekali, jika semua sudah terbukti pihak lelaki salah, isteri akan buat sumpah istizhar (sumpah yang bertujuan untuk memperkuatkan dan memperjelaskan tuntutan dan menolak sebarang tohmahan yang terkena kepada penuntut) sebagai bukti segala ucapannya benar,” katanya. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram