Suami kantoi 'nikah kampung' dengan adik kandung, kisah poligami tanpa pengetahuan isteri wajar jadi iktibar


  • Mukmin
  • Rabu, 28 Feb 2024

Banyak kes penceraian yang tidak masuk akal terjadi di negara ini.  — Gambar hiasan

PELIK tapi benar. Tidak dinafikan banyak berlaku kes penceraian atas sebab yang tidak masuk akal dan bertentangan dengan ajaran agama Islam.

Pengamal Undang-Undang Syariah, Muhammad Amirul Akmal Ismail, 31, mendedahkan mengenai kes penceraian paling tragis yang pernah dikendalikannya di Mahkamah Rendah Syariah Selangor.

Antaranya mengenai kisah seorang wanita yang sudah berkahwin selama 15 tahun namun mengalami masalah rumah tangga dek perbuatan suami dan adik kandung sendiri.

Wanita terbabit membuat permohonan tuntutan fasakh ke atas suami selepas mengetahui pasangannya itu memadukan dia dengan adik kandungnya sendiri.

Lebih menyakitkan, perkara itu hanya diketahui selepas wanita terbabit cuba menjejaki bapa kepada anak yang dilahirkan adik perempuannya itu.

"Wanita itu datang ke rumah adik namun terkejut apabila tengok adiknya itu dah ada anak berumur lima ke enam tahun.

"Dia sebelum ini pernah mengesyaki suaminya ada perempuan lain namun tidak menyangka hubungan itu terjalin dengan adik sendiri," katanya kepada Majoriti sambil menambah, selepas diselidiki, ternyata budak kecil itu adalah hasil hubungan mereka berdua tanpa pengetahuannya.

BACA LAGI: Baru keluar wad terus melatih, masalah kesihatan tak patah semangat Rusli Johari cungkil bakat muda golf

2510191

Suami isteri yang mengalami masalah rumah tangga perlulah merujuk ke mahkamah rendah syariah berdekatan. — Gambar hiasan

Lebih membuatkan wanita itu buntu, dia cuba menyemak pernikahan adiknya bersama suami namun tiada sebarang dokumen atau rekod perkahwinan yang didaftarkan di Malaysia.

Amirul Akmal berkata, ternyata mereka berdua telah melangsungkan 'nikah kampung' secara senyap-senyap di Thailand.

Sebagai rekod, nikah kampung adalah panggilan bagi perkahwinan yang dilangsungkan tanpa berdaftar dengan pejabat agama selain menggunakan jurunikah yang tidak bertauliah.

"Kahwin kampung dokumennya tiada, perkahwinan kedua itu juga tidak sah kerana si suami masih belum menceraikan isteri pertama yang merupakan kakak kandung kepada isteri kedua. Jadi anak yang dilahirkan hasil perkahwinan itu dikira anak tak sah taraf," katanya.

Menurut ajaran Islam, adik-beradik perempuan kepada isteri merupakan golongan haram dinikahi untuk sementara waktu selagi mana si suami masih sah berkahwin dengan isterinya itu.

BACA LAGI: 'Kanser bukan tiket untuk mati', pesakit usus tahap 4 tak mudah putus asa, tanam dua impian kembali pulih

WhatsApp Image 2024-02-27 at 8.04.56 PM

Amirul Akmal merupakan pengamal undang-undang syariah di Firma Tetuan Amirul Akmal & Associates

Bercerita lanjut, Amirul Akmal berkata, tidak hanya berpoligami secara senyap-senyap, suami wanita berkenaan juga difahamkan jarang pulang ke rumah selain tidak menunaikan nafkah batin dan zahir kepada isteri pertamanya itu.

Pada masa sama, hubungan kakak dan adik perempuannya itu juga tidak begitu rapat menyebabkan dia jarang bertemu sehingga tidak mengetahui akan kewujudan anak terbabit.

Dalam hal membabitkan rumah tangga wanita tersebut dengan suaminya, tiada tindakan undang-undang yang boleh diambil ke atas lelaki berkenaan di sebalik kesengsaraan yang dialami.

"Ini kerana perkahwinan antara suami dan adik kandung dia tidak pernah didaftarkan maka perkahwinan tersebut dikira tidak wujud dalam peruntukan undang-undang.

"Sesuatu perkahwinan yang diakadnikahkan di luar negara perlu didaftarkan dengan membuat pengesahan nikah secara berpoligami," katanya lagi.

Amirul Akmal turut memberi nasihat buat golongan wanita yang telah berpoligami atau bernikah di luar negara untuk segera mendaftarkan perkahwinan masing-masing di negara ini.

"Cepat-cepat mendaftarkan perkahwinan tersebut, rujuk peguam syarie yang bertauliah. Insya-ALLAH peguam akan mudahkan urusan klien di mahkamah syariah kelak.

"Ekoran dari tindakan membiarkan perkara ini berlarutan akan memberikan kesan jangka panjang yang anda tidak jangka kelak.

"Jika suami anda mati, anda tidak boleh menuntut bahagian dalam faraid. Itu sebahagian daripada kesannya," kata Amirul Akmal.

Tambahnya lagi, begitu juga jika diceraikan, seseorang wanita itu tidak boleh menuntut harta sepencarian, tidak boleh menuntut mutaah atau segala hutang perkahwinan.

"Dalam erti kata lain semua tindakan undang-undang tidak boleh diambil selagi mana perkahwinan ini tidak didaftarkan dan dikira wujud di bawah enakmen," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram