PAKAIAN rasmi kontinjen Olimpik negara sebelum ini mengundang pelbagai kecaman kerana reka bentuk yang kurang menarik dipilih Majlis Olimpik Malaysia (MOM).
Kritikan itu dilemparkan orang ramai di media sosial dengan mendesak supaya perubahan dibuat memandangkan masing-masing seperti malu untuk menyaksikan pakaian itu dikenakan di pentas dunia sebelum ia akhirnya diubah tidak lama selepas itu.
Namun, kisah berbeza pula disaksikan bagi busana yang akan dipakai pada hari perarakan seperti mana diumumkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh pada Khamis.
BACA LAGI: 'Jangan terlepas acara lagi', peminat anggap jumlah pegawai Olimpik ke Paris munasabah
BACA LAGI: Dianggap underdog di Olimpik 2024 Paris, trio memanah wanita negara idam kejutkan juara bertahan
Busana bertemakan baju Melayu direka khas pereka fesyen, Rizman Ruzaini itu akan dipakai kontinjen Malaysia sempena majlis perasmian Sukan Olimpik Paris pada 26 Jumaat.
Menurut salah seorang daripada pereka, Rizman Nordin, rekaan itu didedikasikan untuk Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan mengangkat perwira-perwira negara sebagai inspirasi utama.
Jadi, tidak hairanlah apabila warna dan corak dipilih adalah cukup elegan sehingga orang ramai berasa cukup tertarik dengan pakaian yang bakal diperagakan.
"Jenama mahal-mahal bukan ukuran, tetapi identiti dan semangat dalam berkhidmat untuk negara tercinta adalah perkara yang paling penting," kata Win Calwin.
Pakaian rasmi kontinjen Olimpik mengundang kecaman daripada orang ramai sebelum akhirnya diubah.
"Inilah yang boleh kita katakan menarik, kontinjen negara boleh dikatakan bakal mengenakan busana terbaik kerana orang lain akan tertarik untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Malaysia," kata Gary Su.
"Cukup terpegun dan bertaraf dunia! Ini pasti akan membawa nafas baharu terhadap keunikan negara kita yang berbilang kaum dan memiliki gaya tersendiri," kata William Cheang.
Pemilihan warna keemasan bagi busana kali ini juga mencuri perhatian memandangkan pada tahun-tahun sebelum ini, busana yang diperagakan kerap menggunakan warna daripada Jalur Gemilang.
Namun, menurut Rizman, rekaan bagi temasya Olimpik Paris 2024 mengetengahkan motif keemasan yang akan memberi aura klasik dan simbol terhadap perjuangan negara di pentas tersebut. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram