Azizulhasni Awang imbau semula detik ibarat 'telur di hujung tanduk'


  • Podium
  • Khamis, 25 Jul 2024

Azizulhasni Awang pernah menerima pembedahan jantung terbuka pada 2022 bagi merawat penyakit yang dialaminya sejak kecil.

JAGUH berbasikal negara, Datuk Azizulhasni Awang sememangnya merupakan seorang legenda dalam sukan yang diceburinya itu sejak bertahun-tahun lalu.

Selepas merekodkan debut dalam temasya Olimpik di Greece kira-kira 16 tahun lalu, atlet berkenaan masih aktif apabila akan bertanding dalam pentas sama tidak lama lagi.

Namun, tidak ramai tahu bahawa ikon kelahiran Dungun, Terengganu itu menghidapi penyakit jantung jarang ditemui dikenali sebagai arteri koronari kanan yang menyalur dari aorta di posisi janggal (AAORCA).

BACA LAGI: Azizulhasni raih gangsa ke-2 dalam tempoh 24 jam di Jepun

BACA LAGI: [VIDEO] Masih berbisa, Azizulhasni raih emas di Adelaide

WhatsApp Image 2024-07-25 at 4.44.23 PM

Azizulhasni sememangnya seorang legenda negara dalam sukan berbasikal.

Diagnosis terhadap penyakit yang dialami sejak kecil itu dilakukan pada 2022 dengan Azizulhasni kemudiannya menerima pembedahan jantung terbuka di Hospital Epworth Richmond, Melbourne, Australia.

Sejak itu, atlet berusia 36 tahun berkenaan bangkit untuk kembali ke trek sehingga menyaksikannya berjaya membawa pulang pingat emas dalam Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATCC) tahun lalu.

Bagaimanapun, baru-baru ini, Azizulhasni tampil menceritakan kenangan pahit dialaminya selepas menjalani pembedahan bagi merawat penyakit tersebut.

Dalam hantaran yang dibuat di media sosial peribadinya, atlet yang dikenali dengan gelaran 'The Pocket Rocketman' itu mengimbau detik mengancam nyawa tersebut.

WhatsApp Image 2024-07-25 at 4.43.50 PM

Perkongsian Azizulhasni mengenai pengalamannya merupakan sesuatu yang cukup menarik.

"Ketika pembedahan dilakukan, saya tidak sedarkan diri dan pembedahan tersebut memakan masa yang agak lama. Keesokan awal paginya, saya hampir tersedar.

"Pada ketika itu, saya masih tidak mampu untuk membuka kedua-dua biji mata, tetapi sudah dapat mendengar suara doktor dan jururawat di dalam bilik yang saya duduki.

"Sifat melawan yang kuat membuatkan saya mencuba sedaya upaya untuk melawan keadaan diri yang lemah. Perlahan-lahan saya cuba membuka mata untuk melihat keadaan diri," tulisnya.

Jelasnya lagi, keadaannya ketika itu adalah cukup mencemaskan dengan tiub dimasukkan serta beberapa anggota ditebuk bagi membantu proses penafasan.

2526555

Azizulhasni (tengah) sudah bangkit untuk melonjakkan semula kariernya.

Namun, teknologi tersebut tidak dapat mengurangkan kesukarannya untuk bernafas secara normal, lebih-lebih lagi apabila terdapat alatan perubatan yang dimasukkan ke dalam mulutnya.

"Seperti ikan yang dicampak ke darat, saya terkapai-kapai cuba untuk bernafas. Saya dengan mesin di sebelah mengeluarkan bunyi yang bising.

"Pada masa yang sama, tangan saya secara refleks menggenggam dan menekan butang peranti yang saya sendiri tidak tahu akan kewujudannya di situ," kongsinya.

Usahanya itu menarik perhatian petugas perubatan berhampiran yang tiba untuk mengeluarkan tiub yang dimasukkan yang sekali gus membawa kelegaan buatnya.

Sejak itu, Azizulhasni menegaskan dia bangkit dengan perasaan syukur setiap hari meskipun perasaan berkenaan masih tidak dapat dilupakan sehingga hari ini.

Kini, dengan atlet berkenaan sudah dapat kembali ke trek seperti sedia kala, dia sudah tentu diharapkan dapat membawa pulang pingat emas pertama negara dalam sukan berbasikal di temasya Olimpik. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram