Penat layan isu kecederaan, fans TFC mahu bek Singapura ganti Steenvoorden


  • Podium
  • Ahad, 21 Jul 2024

Steenvoorden hanya merekodkan satu penampilan bersama Terengganu setakat ini. — Facebook/TFC

SUDAH hampir tiga bulan Liga Malaysia (Liga M) berlangsung namun bek tengah baharu Terengganu FC (TFC), Matthew Steenvoorden hanya merekodkan satu penampilan bersama skuad Sang Penyu.

Berdasarkan laman Transfermarkt, pemain campuran Belanda-Indonesia berkenaan hanya diturunkan ketika perlawanan suku akhir kedua bertemu Sabah FC yang menyaksikan Sang Penyu menang 3-0 ke atas The Rhinos.

Walaupun Steenvoorden tiba pada awal musim ini namun skuad Sang Penyu masih belum menggunakan sepenuhnya khidmat bek berketinggian 1.88 meter itu gara-gara kecederaan dialaminya semasa aksi pra-musim.

BACA LAGI: Steenvoorden masih belum 'solid', fans TFC desak rekrut bekas import Sang Penyu

BACA LAGI: Masih berbisa, Ramadhan dan Nurullaev antara bintang Top 4 cemerlang sepanjang pramusim

Penyokong skuad Sang Penyu sebelum ini meluahkan kebimbangan mereka mengenai keadaan semasa Steenvoorden selepas melihat gambar tularnya di media sosial yang menyaksikan kaki pertahanan itu berbalut dan bertongkat.

Selepas tampil dalam satu perlawanan itu, khidmat Steenvoorden tidak lagi digunakan pada perlawanan getir bertemu Selangor FC dalam aksi separuh akhir pertama Piala FA baru-baru ini.

Tidak dinafikan, ketiadaan pemain berusia 31 tahun berkenaan tidak membawa impak cukup besar memandangkan Terengganu memiliki lambakan pilihan di bahagian pertahanan.

Namun, penyokong Terengganu mencadangkan agar pihak pengurusan skuad Sang Penyu untuk merekrut pertahanan baharu bagi menggantikan Steenvoorden menjelang jendela perpindahan Ogos ini.

Antara nama pemain yang dibayangkan sesuai untuk menyarung jersi Terengganu menjelang perpindahan Ogos ini ialah Madhu Mohana iaitu bek tengah berpengalaman kelahiran Singapura.

Bek berusia 33 tahun itu kini merupakan tonggak utama pasukan Liga Perdana Singapura, Balestier Khals sejak 2022 dengan dia tampil dalam 55 penampilan untuk pasukan berkenaan.

Sebelumnya, Madhu membantu Tampines Rovers FC sebagai naib juara dalam Liga Perdana Singapura 2020, selain membantu bekas kelabnya itu untuk lolos ke saingan Liga Juara-Juara Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) 2021.

Dengan pengalaman di pentas antarabangsa itu, selain sudah mengenali Liga Malaysia apabila menyarung jersi Negeri Sembilan pada musim 2017-2018, Madhu mungkin pemain yang boleh dipertimbangkan Terengganu. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram