SEJAK beberapa hari lalu, gesaan menukar nama bandar George Town di Pulau Pinang kembali menjadi isu hangat yang diperbincangkan di ruang awam.
Perkembangan itu berlaku dipercayai sebagai reaksi susulan pengeluaran klip video promosi George Town Festival 2024 (GTF) yang didakwa hanya mempromosikan kebudayaan kaum Cina dan India.
Ekoran itu, PAS Pulau Pinang menjadi antara pihak terawal menggesa kerajaan negeri untuk mengembalikan semula penggunaan nama asal George Town, iaitu Tanjung Penaga.
BACA LAGI: Malaysia dijangka sukar yakinkan Singapura semak semula perjanjian air — Pakar undang-undang
BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan
Ketua Penerangan PAS Pulau Pinang, Pinang Muhammad Fawwaz Jan berkata, langkah itu perlu dilakukan kerana ia lebih melambangkan identiti negara berbanding nama sekarang yang mengambil ‘identiti diberikan penjajah’.
Dalam pada itu, gesaan tersebut turut mendapat reaksi positif dalam kalangan warga maya yang rata-ratanya berpandangan penggunaan nama Tanjung Penaga atau hanya dipanggil dengan singkatan Tanjung itu sememangnya sudah sebati dalam bahasa percakapan orang awam.
"Sama ada George Town ataupun Georgetown, hakikatnya kedua-dua perkataan ni tak pernah pun sebati di jiwa atau di lidah orang Penang. Kita biasa dengar orang sebut nak ke Ipoh, Alor Setar, Kangar, JB, KB, Seremban dan lain-lain tapi jarang orang sebut nak ke George Town.
"Dari luar bandar sebelah Pulau ataupun Seberang, jarang sekali orang kata 'Jom ke Georgetown esok', mungkin tiada siapa pun sebut macam ni, sebaliknya orang sebut jom ke Tanjung (di sebut sebagai Tanjong).
"Sama ada berani tukar ataupun tidak. Tapi tak pernah jadi Georgetown pun kecuali di atas kertas. Dari dulu sampai sekarang, namanya Tanjung," tulis Salman Ali yang juga pendakwah bebas di Facebook pada Sabtu.
George Town kini turut sudah dimasukkan secara rasmi ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 7 Julai 2008.
Setakat laporan ini ditulis, hantaran berkenaan sudah mendapat lebih 4,900 tanda suka, 563 komen dan 600 perkongsian di Facebook.
Mengulas mengenai gesaan berkenaan, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata, isu berhubung nama Georgetown yang mempunyai legasi sejarah penjajahan sebagai ibu negeri sememangnya sering dibangkitkan.
Beliau berkata, langkah menukar nama bandar terbabit memerlukan satu keputusan yang besar kerana George Town bukan satu-satunya tempat di dalam negara yang memakai nama warisan British.
Pada masa sama, Exco Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai sebelum itu berkata, tiada keperluan untuk kerajaan negeri Pulau Pinang mengubah nama George Town kepada Tanjung Penaga.
Ujarnya, nama Tanjong juga sebenarnya telah lama masuk ke Dewan Rakyat sebagai nama kawasan Parlimen.
Selain itu menurut beliau, nama George Town juga diiktiraf di peringkat antarabangsa sebagai destinasi pelancongan terkenal di Malaysia dan sudah dimasukkan secara rasmi ke dalam senarai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) pada 7 Julai 2008.
Untuk rekod, nama Tanjong Penaga ditukar kepada George Town pada 1786 sempena Raja George III yang ketika itu merupakan pemerintah Great Britain.
Pada asalnya, Pulau Pinang dikenali sebagai Tanjong Penaga sempena nama pokok penaga yang tumbuh di sekitar tapak Fort Cornwallis. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram