KERAJAAN dijangka berdepan kesukaran bagi melakukan semakan semula terhadap perjanjian penjualan bekalan air mentah antara Malaysia dan Singapura yang hanya akan tamat pada 2061.
Pakar undang-undang antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Dr Salawati Mat Basir berkata, untuk merealisasikan langkah itu, Malaysia terlebih dahulu memerlukan persetujuan daripada negara jiran tersebut.
Bagaimanapun, beliau berkata, perkara berkemungkinan sukar dilakukan memandangkan perjanjian semasa yang akan tamat dalam tempoh 37 tahun lagi itu memberikan keuntungan kepada republik tersebut.
BACA LAGI: BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan
BACA LAGI: Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara
"Sebab perjanjian ini merupakan perjanjian bilateral antara dua negara, jadi terpulang kepada mana-mana negara dalam perjanjian tersebut untuk menyatakan sama ada mereka nak tamatkan awal atau buat pembaharuan.
"Jadi dalam keadaan ini, apa yang perlu dilakukan adalah perbincangan dengan kerajaan Singapura mengenai kadar bayaran baharu yang dimahukan. Namun, ini menuntut kesediaan daripada Singapura.
"Kalau Singapura kata dia tak nak kita tak boleh buat apa-apa sebab perjanjian tu hidup sampai tahun 2061," katanya kepada Majoriti.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof pada Selasa berkata, kerajaan sedang meneliti semula semua perjanjian sedia ada berhubung penjualan air mentah kepada Singapura.
Untuk rekod, perjanjian air antara Malaysia dan Singapura yang ditandatangani pada 1962 dijadualkan akan hanya tamat pada 2061.
Menerusi perjanjian itu, Singapura diberikan hak mengeluarkan 250 juta gelen sehari (mgd) air mentah dari Sungai Johor pada kadar tiga sen bagi setiap 1,000 gelen.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.
Johor kemudian membeli semula air terawat dari republik itu pada kadar 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.
Sebelum ini, Singapura dilaporkan sudah bersetuju membayar 45 sen bagi setiap 1,000 gelen sehingga 2011 dan 60 sen mulai 2011 hingga 2061 yang akan berterusan sehingga 100 tahun selepas itu.
Bagaimanapun, Malaysia dilaporkan mengenakan syarat Singapura perlu membayar 60 sen bermula 2001 hingga 2007 dan RM3 sehingga 2011 namun ia ditolak republik tersebut.
Salawati berkata, usaha bagi memperbaharui perjanjian bekalan air antara kedua-dua negara itu bukanlah satu perkara baharu.
Malah, beliau berkata, isu tersebut pernah menjadi hangat pada 2019 selepas ia dibangkitkan Tun Dr Mahathir Mohamad ketika tempoh kedua pemimpin itu menjadi Perdana Menteri.
Salawati berkata, langkah utama perlu terlebih dahulu dilakukan kerajaan Malaysia adalah meyakinkan Singapura bagi tampil ke meja perundingan berhubung perkara tersebut.
Ujarnya, usaha tersebut sememangnya memerlukan pendekatan diplomatik yang cukup bijaksana daripada Kerajaan Malaysia.
"Secara literal, memang kemungkinan Singapura tolak untuk berunding itu tinggi sebab perjanjian itu hidup sampai 2061. Tapi seperti diketahui, kos penyediaan bekalan air semakin tinggi dan tidak adil sebenarnya untuk Malaysia terus jual air dengan harga sangat rendah.
"Jadi pada saya, kita boleh secara diplomatik sebagai negara jiran dan sahabat ASEAN untuk mohon Singapura untuk duduk berunding. Tak kiralah berapa tahun pun perundingan itu sampailah kita dapat cari titik pertemuan yang sama dan menang-menang untuk kedua-dua negara," jelas beliau. — Majoriti
Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram