BERSIH desak pengenalan had maksimum jumlah pengundi kawasan


  • Massa
  • Sabtu, 20 Jul 2024

Kok Hin berkata, kesan kedua-dua amalan berkenaan dilihat masih berlaku terhadap sistem pilihan raya di dalam negara. — Gambar hiasan

PROSES persempadanan semula seterusnya akan dilaksanakan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bakal menjadi satu detik penting dan cukup bersejarah buat negara, kata Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH).

Pengarah Eksekutifnya, Ooi Kok Hin berkata, persempadanan semula bakal dilakukan amat signifikan khususnya dalam menangani beberapa isu yang wujud sebelum ini antaranya amalan gerrymandering dan persempadanan kawasan yang tidak saksama atau malapportionment.

Beliau berkata, dua isu pokok tersebut sekiranya tidak diatasi bakal memburukkan lagi keadaan lebih-lebih lagi dengan mengambil kira scenario baharu ekoran pindaan perlembagaan yang dijalankan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).

BACA LAGI: Isu 'gerrymandering' persempadanan pilihan raya terus hantui demokrasi negara

BACA LAGI: Selain Parlimen Lumut, ini antara 2 kawasan pilihan raya pernah alami gerrymandering

"BERSIH berpandangan bahawa persempadanan semula seterusnya adalah amat penting dan bersejarah kerana ia pertama kali dibuat selepas pelaksanaan Undi 18 dan pendaftaran automatik pengundi.

"Jadi kedua-dua pindaan Perlembagaan ini sebenarnya telah menambah lebih kurang enam juta pengundi baru kepada kawasan pilihan raya.

"Jadi anda bayangkan kalau persempadanan dulu dah agak teruk dengan ketidakseimbangannya, selepas tambah enam juta pengundi ini, ia akal memburukkan lagi keadaan (jika tidak ditangani)," katanya kepada Majoriti.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai isu berbangkit dalam proses persempadanan semula di Malaysia khususnya melibatkan masalah gerrymandering dan malapportionment.

445360883_761619606122703_99436544194612987_n

Pengarah Eksekutif BERSIH, Ooi Kok Hin. — Facebook/Bersih

Kok Hin berkata, kesan kedua-dua amalan berkenaan dilihat masih berlaku terhadap sistem pilihan raya di dalam negara.

Gerrymandering atau gerimander merupakan satu tindakan manipulasi yang dilakukan ketika proses persempadanan pilihan raya.

Manipulasi ini dilakukan sama ada melalui penciptaan kerusi baharu atau persempadanan semula kerusi sedia ada untuk memberikan kelebihan kepada pihak tertentu.

Kok Hin berkata, gerimander adalah satu bentuk manipulasi sempadan yang dilakukan secara wewenang tanpa mengikut sempadan semula jadi di peringkat tempatan atau kejiranan.

Kesan daripada itu,, beliau berkata, terdapat kawasan pilihan raya Parlimen di dalam negara yang merentasi tiga hingga empat tempat pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) yang berlainan.

Untuk isu malapportionment pula, Kok Hin berkata, ia terjadi apabila persempadanan yang dilakukan menyebabkan berlakunya ketidakseimbangan jumlah pengundi di sesuatu kawasan dengan satu kawasan lain di dalam sesebuah negeri.

Sebagai contoh, beliau berkata, terdapat berlakunya jurang cukup ketara misalnya antara jumlah pengundi di Parlimen Sabak Bernam yang seramai 40,000 pengundi berbanding Bangi (300,000 pengundi).

Kelompangan perundangan dalam proses persempadanan semula

Kok Hin berkata, kedua-dua isu berkenaan berlaku disebabkan oleh wujudnya kelompangan dalam Perlembagaan khususnya dalam peruntukan melibatkan prinsip yang diguna pakai bagi persempadanan semula di bawah Jadual ke-13.

Prinsip tersebut antaranya menggariskan persempadanan semula yang dilakukan harus memastikan bahawa jumlah pengundi bagi setiap Kawasan pilihan raya adalah lebih kurang sama.

Beliau berkata, pada asalnya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan secara spesifik parameter bagi terma yang dimaksudkan dengan lebih kurang sama.

A member of media arrive for Chairman of EC Tan Seri  Mohd Hashim Abdullah announcing the date of nomination and polling for the 14th General Election in Putrajaya.Azhar Mahfof/The Star (10/4/2018)

Proses persempadanan semula dilaksanakan oleh SPR. — Gambar hiasan

Bagaimanapun, beliau berkata, perkara itu kemudiannya dibuang daripada Perlembagaan dalam pindaan yang baharu.

"Peruntukan kata kena lebih kurang sama, tapi terma lebih kurang sama itu boleh pelbagai interpretasinya. Sepuluh kali ganda pun dia boleh kata lebih kurang sama walaupun bagi saya ia tidak.

"Kalau dulu lebih kurang sekitar 1960-an, Perlembagaan ada tulis secara spesifik jumlah pengundi tidak boleh lebih atau kurang 33 peratus daripada purata kawasan pilihan raya di negeri tersebut.

"Jadi katakan purata jumlah pengundi kawasan di Selangor adalah 60,000 pengundi. Jadi setiap kawasan di Selangor jumlah pengundinya tak boleh kurang atau lebih daripada 33 peratus," ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, BERSIH menggesa supaya kerajaan mewujudkan semula satu had maksimum bagi jumlah pengundi di setiap kawasan pilihan raya.

"Bagi BERSIH, yang ideal adalah 30 peratus (penyimpangan daripada jumlah purata pengundi di Kawasan pilihan raya).

"Tetapi mungkin juga ada pandangan contohnya di Kawasan luar bandar, mereka nak 100 peratus. Jadi perkara ini boleh dibincangkan.

"Sekarang ini isunya ada kawasan yang perbezaannya sampai 500 peratus dari segi jumlah pengundi. Itu saya rasa amat tidak mapan dan adil bagi nilai undi seseorang pengundi itu sendiri," ujar beliau.

Mitos perkauman dalam persempadanan semula

Mengulas mengenai kebimbangan sentimen perkauman yang dibangkitkan sesetengah pihak berhubung pelaksanaan persempadanan semula, Kok Hin berkata, perkara itu disifatkan sebagai tidak berasas.

Ujarnya, kerana menurutnya penghijrahan masyarakat Melayu di kawasan bandar secara langsung dilihat mengubah demografi kawasan tertentu yang sebelum ini dikatakan dikuasai oleh kaum tertentu.

"Memang ada sentimen kebimbangan tentang persempadanan semula. Contohnya ada yang takut langkah ini akan tambah kerusi untuk kawasan bandar bagi mengukuhkan DAP dan PH (Pakatan Harapan).

"Tapi bagi saya ia tak tidak begitu tepat sebenarnya kalau dikirakan sekarang (Parlimen) Titiwangsa, Umno yang pegang.

"Parlimen Bangi, walaupun dimenangi DAP tapi sebenarnya kawasan majoriti Melayu, begitu juga Shah Alam," katanya.

A voter putting his ballot paper inside the ballot box at Sekolah Kebangsaan Taman Sutera here in Johor Baru on March 12. — THOMAS YONG/The Star

Ketidaksamaan ketara jumlah pengundi antara kawasan khususnya di kawasan bandar secara langsung memberi kesan terhadap nilai undi anak muda.

Dengan lebih banyak Parlimen di bandar yang terdiri daripada kawasan majoriti Melayu, beliau berkata, ia secara langsung menangkis persepsi menyamakan kawasan berkenaan sebagai kawasan bukan Melayu.

"Bagi saya ini adalah satu mitos yang semakin boleh dihakis disebabkan trend penghijrahan ke bandar," ujar Kok Hin.

Pada masa sama, beliau berkata, isu lebih penting ditekankan adalah masalah kemerosotan nilai undi anak muda yang rata-ratanya kini tinggal di bandar khususnya akibat malapportionment.

Untuk rekod, pada ketika ini, kebanyakan kawasan Parlimen dengan perbezaan jumlah pengundi yang cukup besar rata-ratanya terletak di kawasan bandar.

Antara kawasan Parlimen mempunyai jumlah pengundi agak tinggi adalah Bangi (302,786), Klang (208,854), Damansara (238,287), Subang (230,616), Gombak (205,537) dan Tebrau (223,837).

"Jadi ini satu aspek yang kurang ditekankan (dalam persempadanan semula) iaitu nilai undi anak muda. Ramai pengundi anak muda ini dia tertumpu belajar, bekerja dan menetap di bandar," katanya. — Majoriti

Boleh follow media sosial Majoriti di Twitter, Facebook, Instagram dan Telegram